APMM Sandakan tahan 10 individu, rampas aset bernilai RM508,352

Oleh JAMES LEONG

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan merekodkan empat kes penguatkuasaan berasingan membabitkan tiga bot nelayan tempatan, sebuah bot laju tidak berdaftar dan sebuah premis di dalam serta sekitar perairan Sandakan pada 14 Oktober.
Pengarah APMM Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain, berkata operasi berkenaan membawa kepada penahanan 10 individu bagi membantu siasatan, selain penyitaan bot, hasil laut, bahan api diesel dan barangan lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan kesalahan di bawah undang-undang.
Kes pertama membabitkan sebuah bot nelayan tempatan yang ditahan kira-kira jam 2.50 pagi.
Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama dua awak-awak bukan warga Malaysia. Bot berkenaan turut membawa anggaran 50 kilogram hasil laut.
Dalam kes kedua, sebuah lagi bot nelayan tempatan ditahan kira-kira jam 3.14 pagi. Bot itu dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama seorang awak-awak bukan warga Malaysia.
Pemeriksaan menemukan anggaran satu tan hasil laut, lima tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 14 kilogram setiap satu, selain peralatan dan dokumen berkaitan.
Sebuah bot nelayan tempatan ketiga pula ditahan kira-kira jam 3.30 pagi. Bot itu dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama tiga awak-awak, termasuk seorang bukan warga Malaysia.
Hasil pemeriksaan menemukan kira-kira satu tan hasil laut, lima tong gas LPG seberat 14 kilogram setiap satu, serta dokumen dan peralatan berkaitan.
Dalam kes berasingan, anggota APMM memeriksa sebuah bot laju tidak berdaftar dan sebuah premis di Kampung Seng Kee.
Pemeriksaan itu membawa kepada penemuan 25 tong jerikin berkapasiti 30 liter setiap satu, yang mengandungi keseluruhan 750 liter diesel.
Pihak berkuasa turut menyita bot laju berkenaan bersama sebuah enjin sangkut berkuasa 250 kuasa kuda. Nilai keseluruhan rampasan bagi kes ini dianggarkan RM51,952.50.
Secara keseluruhan, nilai tiga bot nelayan bersama barangan rampasan berkaitan dianggarkan RM456,400, manakala rampasan membabitkan bot laju dan premis dianggarkan bernilai RM51,952.50.
Jumlah keseluruhan nilai aset yang dirampas bagi keempat-empat kes dianggarkan RM508,352.50.
Kes-kes berkenaan disiasat mengikut undang-undang berkaitan, termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan Sabah 2002, tertakluk kepada hasil siasatan bagi setiap kes.
APMM berkata, pihaknya akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membendung kegiatan menyalahi undang-undang serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan Malaysia terus terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi APMM Sandakan di talian 089-229504 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

Dua suspek bersama tong gas LPG yang dirampas oleh APMM Zon Sandakan pada 14 Oktober.