Oleh JOHN TAMBANAN
KUALA PENYU: Pejabat baharu Sabah Electricity di Kuala Penyu dijangka meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada kira-kira 8,729 pengguna elektrik, meliputi 74 kampung di daerah itu dan Menumbok.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Limus Jury, berkata kemudahan yang dinaik taraf itu menyediakan persekitaran lebih selesa untuk urusan pelanggan, sekali gus memudahkan akses kepada perkhidmatan berkaitan bekalan elektrik.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pejabat berkenaan, di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Haji Jaafar.
Limus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu berkata, nilai kemudahan awam bukan sekadar terletak pada keselesaan bangunan, tetapi sejauh mana ia mampu memudahkan urusan rakyat dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Electricity atas usaha menaik taraf pejabat itu dan berharap inisiatif berkenaan dapat memperkukuh hubungan syarikat dengan masyarakat setempat.
Sementara itu, Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Saadiah Aziz, berkata pejabat daerah memainkan peranan penting sebagai penghubung antara syarikat dengan pelanggan, khususnya bagi urusan bekalan elektrik, pertanyaan dan aduan.
Katanya, Sabah Electricity bukan sahaja komited memastikan bekalan elektrik disalurkan kepada pengguna, malah mahu setiap pelanggan mendapat layanan dan panduan yang jelas.
Pejabat berkenaan dilengkapi konsep ruang terbuka yang moden dan praktikal bagi mewujudkan persekitaran kerja kondusif, meningkatkan koordinasi kakitangan serta melancarkan urusan pelanggan.
Projek pembinaan pejabat itu bermula pada 5 Januari 2024 dengan kos kontrak RM2.99 juta sebelum siap dan mula digunakan pada 28 September 2026.

Limus (tengah) diiringi Saadiah dan pegawai kanan Sabah Electricity ketika merasmikan pejabat baharu Sabah Electricity di Kuala Penyu.





