Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Projek Pusat Seni Persembahan Kota Kinabalu (KKPAC) di tapak Wisma Budaya bakal dimulakan, manakala cadangan pembinaan bangunan pejabat pentadbiran Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) serta agensi di bawahnya kini di peringkat akhir perancangan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata pembangunan KKPAC mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh infrastruktur kebudayaan serta menyediakan kemudahan moden untuk pembangunan seni persembahan di negeri ini.
Katanya, pusat itu bakal dilengkapi auditorium persembahan, teater black box, studio tarian, dewan latihan dan kemudahan lain bagi menyokong aktiviti kesenian serta mencungkil bakat tempatan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat projek dan melawat tapak cadangan pembangunan di Wisma Budaya, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, kemudahan berkenaan turut berpotensi menarik penganjuran lebih banyak konsert dan persembahan, selain membuka peluang kepada golongan muda mengembangkan kreativiti.
Sementara itu, bangunan pejabat pentadbiran yang dicadangkan di tapak sama akan menempatkan KePKAS, Taman-Taman Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).
Jafry berkata, pembangunan itu bertujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran, memperkukuh penyelarasan antara agensi serta menyediakan persekitaran kerja yang lebih bersepadu.
Katanya, projek berkenaan dijangka dibiayai Taman-Taman Sabah dan STB, dengan tempoh pelaksanaan bangunan pejabat dianggarkan selama 30 bulan.
Beliau berkata, kedua-dua pembangunan itu merupakan sebahagian daripada usaha memaksimumkan nilai aset kerajaan dan memastikan institusi kebudayaan Sabah mempunyai kemudahan yang sesuai untuk memenuhi keperluan masa depan.

Jafry diiringi Pembantu Menteri KePKAS, Dr Andi Md Shamsureezal, serta ahli LKNS ketika melawat tapak cadangan pembangunan di Wisma Budaya, Kota Kinabalu, pada Khamis.







