Empat Puluh Peserta Tamat Program Kemahiran PEKB 2026

Oleh Wu Vuide

SANDAKAN: Seramai 40 peserta telah menamatkan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PEKB) 2026, sekali gus menandakan fasa terakhir pemantauan fizikal oleh SWEPA di Sandakan.
Program kemahiran selama enam bulan itu, yang bertujuan memperkukuh kewangan keluarga, mula dilaksanakan pada 2025. Peserta program dipilih oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Penyelaras projek SWEPA, Karen Wong, berkata para peserta telah mempelajari kemahiran membaiki telefon bimbit, sekali gus melengkapkan mereka dengan kemahiran praktikal serta membuka peluang baharu untuk meningkatkan kewangan keluarga dan membina masa depan yang lebih terjamin.
Beliau berkata, pasukan projek bersama tenaga pengajar telah memantau perkembangan peserta, memberikan bimbingan dan tunjuk ajar, membantu mereka mengatasi cabaran serta menggalakkan perkembangan keusahawanan masing-masing dalam usaha mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) program.
Menurutnya, semangat, ketekunan dan kesediaan para peserta untuk belajar amat mengagumkan.
Karen berkata, walaupun lawatan terakhir itu menandakan berakhirnya pemantauan rasmi, ia sebenarnya merupakan permulaan kepada usaha berterusan peserta untuk terus maju dan berkembang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan projek SWEPA dan tenaga pengajar atas profesionalisme, komitmen serta usaha gigih mereka dalam melaksanakan program berkenaan mengikut keperluan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Pada majlis makan malam PEKB 2026, Presiden SWEPA, Betty Epin, menyifatkan program itu sebagai platform untuk membawa perubahan.
Beliau berkata, majlis makan malam itu bukan sekadar peluang untuk menikmati hidangan bersama, malah menjadi ruang untuk menyatakan penghargaan dan mengeratkan hubungan dalam kalangan peserta.
Betty menyifatkan para peserta sebagai agen perubahan yang berani keluar daripada zon selesa demi membina masa depan yang lebih mampan dan sejahtera.
Katanya, mereka telah menunjukkan komitmen yang tinggi, keazaman serta kesediaan untuk menimba ilmu bagi meningkatkan kesejahteraan ekonomi diri sendiri dan keluarga.
“PEKB bukan sekadar program latihan, tetapi merupakan platform untuk membawa perubahan,” katanya.
Betty menggesa para peserta supaya memanfaatkan pengalaman, kemahiran dan jaringan hubungan yang diperoleh sepanjang menyertai PEKB 2026 sebagai aset berharga untuk melangkah ke hadapan.
Beliau berkata, perjalanan dalam bidang keusahawanan dan usaha meningkatkan taraf ekonomi sememangnya penuh dengan cabaran, namun ketahanan diri dan ilmu pengetahuan dapat membantu mereka mengatasinya.

KENANGAN …. Karen dan Betty (duduk) bersama 40 peserta yang telah menamatkan program PEKB.