16 rumah musnah dalam kebakaran di Tawau

Oleh JAMES LEONG


TAWAU: Sebanyak 16 buah rumah kayu musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Batu 2, Jalan Apas, Lorong Mat Salleh, di sini, pada malam 16 Oktober.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerima panggilan kecemasan pada jam 9.31 malam dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.55 malam, manakala operasi pemadaman tamat pada jam 3.25 pagi, 17 Oktober.
Seramai 45 anggota bomba dari BBP Tawau dan Kunak, dengan bantuan Pasukan Bomba Komuniti Titingan, terlibat dalam operasi berkenaan. Agensi lain turut memberikan bantuan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Sementara itu dalam kes berasingan di Semporna, Lima lelaki warga Filipina ditahan Polis Marin Semporna kerana disyaki bekerja sebagai pemandu selam di Sabah tanpa permit kerja yang sah.
Kesemua mereka ditahan kira-kira jam 10 pagi pada 17 Oktober ketika pemeriksaan terhadap bot pelancong di perairan Laut Singamata.
Operasi itu dijalankan secara bersama oleh Polis Marin, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).
Hasil pemeriksaan mendapati lima lelaki berkenaan disyaki menggunakan dokumen yang diragui kesahihannya dan tidak memiliki permit yang diperlukan untuk bekerja sebagai pemandu selam di Sabah.
Mereka kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Pandangan udara kebakaran yang memusnahkan 16 rumah kayu di Batu 2, Jalan Apas, Lorong Mat Salleh, Tawau, pada malam 16 Oktober.