KEPIMPINAN PAPIM SESI 2026-2028 GANDINGAN MUKA BAHARU DAN LAMA

KOTA KINABALU: Kepimpinan Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Anak Pimping Kota Kinabalu (PAPIM) Sesi 2026-2028 gandingan muka baharu dan lama dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan persatuan ini di Dewan Hijrah Wisma Muis pada pagi Sabtu.
Pengerusi lama, Haji Ahmad Dipong menang tanpa bertanding apabila dua calon dicadangkan menarik diri.
Bagi jawatan Timbalan Pengerusi yang kosong setelah perletakan jawatan penyandangnya juga dimenangi muka baharu, Nor Isham Narawi tanpa tanding juga dua calon menarik diri.
Turut menang tanpa bertanding ialah Haji Ismail Hj Baniamin apabila tiga calon termasuk bendahari lama, Ag Kassim Haji Ismail tidak mahu mempertahankan jawatannya.
Seramai 10 orang ahli telah dicalonkan untuk merebut empat Ahli Jawatankuasa Pusat. Setelah pengundian dijalankan dua muka baharu dan dua muka lama terpilih.
Dua muka baharu itu ialah Asmah Arsad dan Noraini Ahmad manakala muka lama yang terpilih ialah Ali Omar Salleh dan Ag Mohd Jainal Hj Jailani.
Jawatan Naib Pengerusi, Setiausaha Agung, Penolong Bendahari, Ketua Penerangan dan dua AJK akan dilantik kemudian.
AGM PAPIM yang dirasmikan oleh bekas Presiden Persatuan Pesara Polis Sabah, Datuk Ag Kassim Haji Pengiran Gamok ini juga meluluskan beberapa pindaan perlembagaan PAPIM.
Antaranya ialah perubahan nama kepada Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Anak Pimping Sabah (PAPIM).
Dengan perubahan nama dan beberapa peraturan baharu, PAPIM kini membuka keahliannya ke seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sebelum ini keahlian PAPIM hanya anak Kg Pimping yang menetap dari Papar hingga Tuaran saja.
“Jika pindaan ini diluluskan oleh ROS, anak-anak Kg Pimping yang ada di seluruh Sabah dan Labuan, boleh memohon menjadi ahli langsung ke PAPIM Pusat tanpa perlu menubuhkan cawangan,” kata Naib Prngerusi Nismah Hj Kanak ketika membentangkan pindaan itu.
Bagaimanapun katanya permohonan ahli hanya akan diputuskan oleh AJK PAPIM Pusat sama ada mahu menerima atau tidak sebarang permohonan itu.
Pindaan lain ialah mewujudkan Ahli Seumur Hidup dengan bayaran RM200 sama ada dibayar sekali gus atau ansuran.
Beliau berkata pindaan lain jawatan bendahari tidak lagi akan dipertandingkan sebaliknya dilantik manakala AJK dipilih ditambah kepada 5 orang dan 2 orang dilantik.
Dalam AGM itu beberapa program turut dicadangkan antaranya Mengadakan Majlis Makan Malam untuk mengutip dana persatuan, kejohanan sepak takraw dan Pertandingan Bagandang.

CENDERAKENANGAN … Hj Ahmad (kanan) menyampaikan cenderhati kepada Ag Kassim selepas perasmian sambil diperhatikan oleh AJK Sesi 2024-2026 lalu.