Kudat berpotensi jadi Hab Ekonomi Biru serantau – Hajiji

KUDAT: Kudat berpotensi dibangunkan sebagai Hab Ekonomi Biru serantau berikutan kedudukan strategik dan kekayaan sumber marinnya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, aspirasi itu sedang direalisasikan menerusi cadangan pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru (BEIP) yang diterajui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Katanya, pelan induk bagi kawasan seluas 1,205 ekar milik SEDCO di Kampung Limau-Limauan dan Perapat Laut sedang disediakan sebagai langkah awal, manakala 3,129 ekar lagi di Matunggung, Banggi dan Tanjong Kapor dikenal pasti sebagai kawasan rizab pembangunan projek berkenaan.
“Berasaskan konsep pembangunan maritim dan teknologi hijau, projek ini memberi tumpuan kepada industri makanan laut, logistik perdagangan serta kegiatan ekonomi berasaskan laut, termasuk cadangan pembinaan pelabuhan sebagai zon perdagangan serantau.
“Kedudukan Kudat memberikan kelebihan untuk memperluas hubungan perdagangan dengan pasaran China, Korea Selatan, Jepun dan Filipina,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Kasih Rakyat, Karnival Jom Malaysia, Jualan Rahmah MADANI dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) Edisi DUN Tanjong Kapor di Dataran Tomborungus, di sini, pada malam Sabtu.
Hajiji berkata, pengukuhan industri perikanan laut dalam dan penaiktarafan bagang di pesisir pantai turut diberi perhatian bagi memastikan masyarakat setempat mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi itu.
Katanya, pembangunan berkenaan memerlukan sokongan dasar, peruntukan dan infrastruktur yang kukuh menerusi kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan, dengan kelestarian alam sekitar serta pemuliharaan marin kekal sebagai keutamaan.
Beliau berkata, Kudat turut memiliki keindahan alam, khazanah budaya dan kreativiti masyarakat yang terserlah melalui produk tempatan, termasuk kraf tangan, hasil pertanian, perikanan serta aktiviti pelancongan.
“Berlandaskan kekuatan ini, kita mahu masyarakat Kudat memperoleh akses lebih luas kepada perkhidmatan kerajaan, sokongan keusahawanan dan peluang pemasaran bagi meningkatkan kesejahteraan serta pendapatan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hajiji menyambut baik Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Oktober lalu, yang memperuntukkan RM18.7 bilion kepada Sabah bagi tahun depan berbanding RM17.6 bilion tahun ini.
Katanya, peningkatan peruntukan itu penting untuk memperkukuh kemudahan asas, meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata, Belanjawan 2027 turut menyediakan RM3.3 bilion bagi pembangunan jalan raya di Sabah dan Sarawak serta RM350 juta untuk penyelenggaraan jalan Persekutuan, sekali gus membantu menangani isu kemudahan asas, khususnya jalan raya, bekalan air dan elektrik.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sedang meneliti keperluan semasa rakyat, kemampuan kewangan negeri dan kesinambungan pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Katanya, hasil Sabah kekal kukuh dengan kutipan RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023, RM6.87 bilion pada 2024 dan RM6.76 bilion pada 2025, berbanding kira-kira RM4 bilion pada 2019.
“Justeru, kita akan terus memperkemas kutipan, mempelbagaikan sumber hasil dan mengurus perbelanjaan secara berhemah bagi memastikan kedudukan kewangan negeri kekal kukuh. Saya optimis hasil negeri bagi tahun 2026 mampu melepasi paras RM7 bilion,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, program berkenaan menggabungkan empat komponen utama, iaitu Sentuhan Kasih Rakyat, Karnival Jom Malaysia, Jualan Rahmah MADANI dan MCS.
Katanya, program itu bertujuan menyantuni kebajikan masyarakat, memperluas promosi dan pemasaran produk tempatan, meringankan kos sara hidup serta mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Beliau turut menggesa usahawan memanfaatkan peluang yang tersedia untuk meningkatkan daya saing, memperkukuh penjenamaan dan memperluas pasaran produk masing-masing.
Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat menyokong produk tempatan bagi membantu mengembangkan perniagaan, menjana pendapatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

SAMPAIKAN …. Hajiji menyampaikan geran tanah individu (NT) kepada penerima pada Program Sentuhan Kasih Rakyat, Karnival Jom Malaysia, Jualan Rahmah MADANI dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) Edisi DUN Tanjong Kapor di Dataran Tomborungus, Kudat, pada Sabtu.