KOTA KINABALU: Sebanyak RM950.78 juta pembiayaan disalurkan kepada 44,059 usahawan dan koperasi di Sabah sehingga September tahun ini menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi di bawahnya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata jumlah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas akses pembiayaan, sekali gus menyokong pertumbuhan dan daya saing perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya, Kerajaan Negeri menyambut baik pendekatan KUSKOP menerusi aspirasi Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) yang menekankan pembangunan usahawan secara menyeluruh, bukan sekadar menyediakan pembiayaan.
“Usahawan bukan sahaja memerlukan pembiayaan, tetapi juga latihan, teknologi, peningkatan produktiviti, proses permohonan yang lebih mudah serta akses kepada pasaran yang lebih luas.
“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan dan syarikat tempatan di Sabah berkembang, menjadi lebih digital, produktif dan inovatif, di samping memperluas akses pasaran ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena perasmian Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini. Ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata, usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan itu selari dengan hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing, produktiviti dan nilai tambah ekonomi negeri.
Beliau turut menghargai komitmen KUSKOP melaksanakan reformasi birokrasi, memudahkan prosedur serta memendekkan tempoh pemprosesan permohonan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada usahawan.
“Pendekatan seperti inilah yang kita mahu lihat terus diperkukuh, iaitu lebih banyak masa usahawan digunakan untuk membina perniagaan dan mencari pelanggan, manakala kurang masa dihabiskan untuk berurusan dengan proses yang boleh dipermudahkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri bersedia meneruskan kerjasama dengan KUSKOP dan agensinya bagi memastikan program Kerajaan Persekutuan dapat disesuaikan dengan keperluan ekosistem perniagaan di Sabah.
Hajiji turut menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memberi perhatian kepada pembangunan PMKS, khususnya melalui peningkatan akses pembiayaan dan pengurangan kos menjalankan perniagaan.
Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri terus memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan tempatan menerusi pelbagai inisiatif, termasuk Program Bantuan SME-UP bagi meningkatkan kapasiti, produktiviti dan daya saing perusahaan tempatan.
Kerajaan Negeri juga membuka lebih banyak peluang kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran baharu, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, pertanian, pelancongan, kraftangan serta produk berasaskan sumber tempatan.
“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri turut memperkukuh pembangunan usahawan berasaskan inovasi dan teknologi, selain melaksanakan program pemerkasaan produk desa serta pembangunan kemahiran.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada lebih ramai usahawan, khususnya golongan belia dan masyarakat luar bandar, untuk meningkatkan kemahiran, menambah nilai produk serta meneroka peluang ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuh supaya lebih ramai usahawan Sabah bukan sahaja mampu bertahan, malah dapat mengembangkan skala perniagaan dan muncul sebagai peneraju perniagaan tempatan (local champions).
Hajiji turut menyeru usahawan Sabah supaya merebut peluang yang disediakan menerusi Karnival HPM, termasuk khidmat konsultasi pembiayaan, latihan digital dan padanan perniagaan yang ditawarkan KUSKOP serta rakan strategik negeri.
“Janganlah kita berpuas hati dengan pasaran sedia ada. Tingkatkan kualiti pembungkusan, penjenamaan dan ketekalan produk agar lebih berdaya saing,” katanya.
Beliau yakin kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, institusi kewangan, sektor swasta dan komuniti perniagaan mampu mewujudkan ekosistem yang membolehkan lebih banyak perusahaan tempatan berkembang serta menembusi pasaran global.

RASMI .. Ewon (tiga dari kiri) mewakili Ketua Menteri menyempurnakan perasmian Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026.







