Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Seorang pembonceng motosikal maut selepas kenderaan dinaiki bersama rakannya dirempuh pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Putatan-Ramayah, Kampung Ulu Putatan, di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa berusia 45 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz berkata, kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dan sebuah motosikal Honda EX5.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, pacuan empat roda berkenaan yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 22 tahun.
“Pacuan empat roda berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa.
“Akibat kejadian berkenaan, kedua-dua mangsa berusia 45 dan 28 tahun dilaporkan mengalami parah dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia dan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Arisanti menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan lalu lintas.
Katanya, pengguna jalan raya perlu mengutamakan keselamatan ketika memandu untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Pacuan empat roda dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.



