Oleh JOHN TAMBANAN
PENAMPANG: Justina Laison Masabal, antara peserta paling berusia, muncul juara Pertandingan Akhir Nyanyian Hozou Songkotoun Kadazan-Dusun 2026 menerusi persembahan memukau dengan lagu ‘Solizong Vatu Sinodu Nu’ dan ‘Nokoikot No Monombuhui’.
Pertandingan akhir yang berlangsung di Grand Ballroom 1, ITCC Penampang pada Sabtu, 7 November 2026 itu dianjurkan oleh Badan Penyelaras KDCA Penampang dan Putatan.
Majlis perasmian pertandingan disempurnakan oleh Timbalan Presiden KDCA, Bulawan Sigah Datuk Seri Panglima Clarence B. Malakun, J.P., yang menekankan kepentingan memelihara dan memperkasakan bahasa Kadazan-Dusun, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Beliau memaklumkan bahawa Badan Penyelaras KDCA Penampang dan Putatan telah menganjurkan kelas perbualan bahasa Kadazan-Dusun secara percuma setiap dua minggu, pada hari Sabtu, bertempat di ITCC Shopping Mall.
Inisiatif itu bertujuan menggalakkan generasi muda mempelajari, mengamalkan dan memelihara bahasa ibunda mereka.
Clarence, yang juga Pengerusi KDCA Penampang dan Putatan, berkata penganjuran pertandingan nyanyian Kadazan-Dusun merupakan satu lagi pendekatan bermakna dalam usaha memelihara bahasa, budaya dan warisan masyarakat Kadazan-Dusun.
Menurut beliau, usaha memartabatkan bahasa dan budaya menerusi pertandingan seumpama itu telah dilaksanakan sejak lebih 20 tahun lalu.
Beliau berharap pertandingan berkenaan dapat diteruskan untuk tempoh yang lebih panjang pada masa akan datang.
Pertandingan itu diadili oleh juri profesional yang terdiri daripada artis tempatan, Aloysius Mojilis dan Atama.
Turut hadir ialah Datin Seri Panglima Sylvia Malakun dan Pengerusi Penganjur, Francis Julian Tunding.
Pertandingan Nyanyian Hozou Songkotoun Kadazan-Dusun tahun ini menyaksikan penyertaan 10 peserta akhir yang mempersembahkan bakat nyanyian masing-masing menerusi lagu-lagu popular Kadazan-Dusun dari era 1960-an.
Peter Jipiu meraih tempat kedua menerusi persembahan lagu ‘Nokoipi Zou Diau’ dan ‘Oi Sadi’, manakala Muldin Marius Gitam menduduki tempat ketiga dengan lagu ‘Bimbizangan’ dan ‘Vinoun’.

Justina (tengah) diapit Peter (kiri) dan Muldin (kanan) ketika bergambar kenangan bersama Francis, Aloysius dan Atama.





