Sabah Teroka Potensi AI Dalam Pertanian di Guangzhou

Oleh JOHN TAMBANAN
GUANGZHOU (China): Delegasi Sabah meneroka potensi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian menerusi lawatan dan pertukaran akademik di Universiti Sun Yat-sen, di sini.
Delegasi diketuai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, bersama Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), Datuk Dexter Lau, yang turut menghadiri sesi syarahan bertajuk Membina Semula Koordinasi Pertanian dengan ‘Feiniao Intelligent Brain’.
Syarahan disampaikan Profesor Qian Shi dari Sekolah Geografi dan Perancangan, Universiti Sun Yat-sen, yang antara lain mengupas keperluan penyelarasan pengeluar pertanian yang beroperasi secara berasingan bagi meningkatkan kecekapan sektor berkenaan.
Beliau turut berkongsi mengenai pembangunan sistem kawalan pertanian pintar serta amalan terbaik dalam penggunaan AI bagi menyokong pengurusan dan pembangunan pertanian moden.
Mengulas lawatan berkenaan, Jamawi berkata, kunjungan ke universiti itu memberikan pendedahan dan wawasan baharu, khususnya mengenai potensi aplikasi AI dalam sektor pertanian.
Katanya, kepakaran serta pengalaman universiti berkenaan dalam bidang AI boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh sistem penyampaian pendidikan dan pengajaran, khususnya di Institut Pertanian Sabah di Timbang Menggaris, Kota Belud.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya beberapa pegawai kementerian yang terlibat dalam bidang AI, termasuk tenaga pengajar institut berkenaan, diberi peluang mengikuti latihan di Universiti Sun Yat-sen.
Menurutnya, pendedahan itu penting bagi membolehkan mereka memahami proses pelaksanaan teknologi berkenaan serta mengenal pasti kaedah AI dapat dimanfaatkan untuk menyokong pembangunan sektor pertanian Sabah.
Sementara itu, Dexter berkata, penerapan AI dalam sektor pertanian merupakan langkah yang tepat pada masanya selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Bagaimanapun, katanya, pendekatan terhadap teknologi berkenaan perlu dilihat dari perspektif lebih luas dan tidak terhad kepada penggunaannya dalam aktiviti pertanian semata-mata.

Jamawi (tengah) diiringi Dexter ketika ditemui pemberita selepas mengetuai delegasi Sabah mengadakan lawatan ke Universiti Sun Yat-sen di Guangzhou, China.