Oleh JOHN TAMBANAN
TAWAU: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau mesti dikekalkan sebagai kampus yang berfungsi sepenuhnya bagi memastikan peluang pendidikan tinggi anak-anak Sabah, khususnya di Pantai Timur negeri ini, terus terpelihara.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, usaha mengekalkan kampus itu bukan sekadar memastikan kemudahan fizikalnya terus digunakan, sebaliknya turut melibatkan pemeliharaan identiti institusi, fungsi akademik dan peluang pengajian kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berhubung kedudukan UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau yang sedang melalui proses kajian semula atau rasionalisasi operasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurutnya, meskipun Menteri Pendidikan Tinggi memberi jaminan kampus berkenaan tidak akan ditutup, cadangan rasionalisasi operasi serta penggunaan kemudahan kampus sebagai hab pendidikan melibatkan institusi lain masih menimbulkan persoalan mengenai masa depan sebenar UiTM Tawau.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kewujudan UiTM di Tawau sejak 1996 adalah hasil perjuangan pemimpin terdahulu dengan sokongan Kerajaan Negeri, warga institusi dan masyarakat setempat bagi menyediakan akses pendidikan tinggi kepada anak-anak tempatan.
Katanya, kampus itu memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pengajian kepada golongan Bumiputera, khususnya dari Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan kawasan sekitarnya.
“Kewujudan kampus ini membolehkan anak-anak tempatan melanjutkan pengajian tanpa perlu menanggung kos tambahan yang tinggi untuk perjalanan, penginapan dan sara hidup sekiranya terpaksa berpindah ke daerah atau negeri lain.
“Bagi keluarga kurang berkemampuan, kemudahan pendidikan tinggi berhampiran tempat tinggal membawa makna yang cukup besar,” katanya.
Mengulas jumlah 254 pelajar setakat 30 September 2026 yang dibangkitkan Menteri Pendidikan Tinggi dalam penjelasannya di Dewan Rakyat, Nizam berkata, angka itu tidak seharusnya dijadikan satu-satunya ukuran untuk menentukan keperluan dan tahap penggunaan sesebuah kampus.
Sebaliknya, katanya, penilaian perlu mengambil kira kapasiti sebenar kemudahan akademik, termasuk bilik kuliah, prasarana pengajaran dan pembelajaran serta keupayaan kampus menampung pelajar secara berkesan.
Beliau turut menegaskan bahawa kapasiti sesebuah kampus tidak wajar dinilai berdasarkan jumlah ruang penginapan semata-mata kerana kemudahan kediaman tidak semestinya menggambarkan kemampuan sebenar prasarana akademiknya.
Sehubungan itu, beliau berharap KPT memberikan penjelasan terperinci mengenai asas penilaian yang digunakan dalam cadangan rasionalisasi berkenaan bagi memastikan sebarang keputusan mengambil kira keperluan pendidikan masyarakat di Pantai Timur Sabah.
Pada masa sama, Nizam percaya UiTM Tawau masih mempunyai potensi untuk terus dibangunkan, termasuk menerusi penawaran program pengajian lebih pelbagai yang memenuhi keperluan pembangunan ekonomi, pasaran pekerjaan dan industri tempatan.
“Kita mahu memperluas peluang pendidikan tinggi kepada anak-anak Tawau. Sekiranya terdapat perancangan mewujudkan institusi pendidikan baharu, ia seharusnya menjadi pelengkap kepada institusi sedia ada dan bukannya menggantikan peranan UiTM Tawau,” katanya.
Beliau turut menggesa KPT memberikan jaminan jelas bahawa cadangan rasionalisasi itu tidak akan menjejaskan identiti, fungsi akademik dan kedudukan UiTM Tawau sebagai kampus UiTM di Pantai Timur Sabah.
Katanya, sebarang perancangan berkaitan masa depan kampus itu juga perlu mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri Sabah, pengurusan UiTM, warga akademik, alumni dan masyarakat setempat.
“UiTM Tawau merupakan sebahagian daripada sejarah pembangunan pendidikan tinggi di daerah ini. Usaha dan pengorbanan generasi terdahulu untuk mewujudkan institusi ini perlu dihargai dengan memastikan peluang pendidikan yang tersedia terus dipelihara dan dikembangkan untuk generasi akan datang.
“Pendirian saya jelas, UiTM Tawau mesti dikekalkan, diperkukuh dan terus diberikan peranan bermakna dalam pembangunan pendidikan tinggi di Pantai Timur Sabah,” tegasnya.

FOTO: NIZAM TITINGAN



