Oleh JAMES LEONG
TAWAU: Kecuaian dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan dua motosikal di Batu 1, Jalan Apas (Takada), di sini, yang mengakibatkan seorang penunggang mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam Jumaat lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 26 tahun keluar dari simpang T2 untuk memasuki jalan utama sebelum dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lagi motosikal ditunggang lelaki berusia 39 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang berusia 39 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, dahi dan bahu sebelum dikejarkan ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Penunggang berusia 26 tahun pula dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Rosdi berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang yang keluar dari simpang tanpa memastikan keadaan lalu lintas benar-benar selamat.
Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Kes berkenaan disiasat mengikut Kaedah 3(2)(B) LN 166/59.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Nazri Najari menerusi talian 011-51118779 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya, khususnya ketika keluar dari simpang untuk memasuki jalan utama.
Pengguna jalan raya diingatkan supaya memastikan keadaan lalu lintas benar-benar selamat sebelum meneruskan perjalanan selain mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Polis akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak mengambil mudah aspek keselamatan kerana kecuaian boleh mengakibatkan kecederaan serius malah kehilangan nyawa.

Rosdi Mat Jusoh.




