Mini Karnival HPPK Sabah perkasa usahawan, perluas peluang perniagaan – Ewon

Oleh JOHN TAMBANAN


BELURAN: Penganjuran Mini Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Sabah 2026 menjadi platform penting untuk membantu usahawan meningkatkan aktiviti perniagaan, memperluas pasaran serta mendapatkan akses kepada perkhidmatan agensi kerajaan.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, berkata inisiatif yang julung kali dianjurkan Kerajaan Negeri Sabah itu turut menjadi pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan komuniti penjaja serta peniaga kecil kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, program anjuran kementeriannya (MINDET) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (G3PNS) itu bukan sahaja menyediakan platform pemasaran kepada usahawan, malah memudahkan mereka mendapatkan pelbagai perkhidmatan daripada agensi kerajaan.
“Selain menjadi platform pemasaran kepada usahawan, program ini juga menyediakan platform perkhidmatan oleh agensi kerajaan bagi membantu komuniti penjaja dan peniaga kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mini Karnival HPPK Sabah 2026 Edisi Daerah Beluran, di sini, pada Ahad.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Dr. Jonnybone Kurum; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jamri; ketua serta wakil jabatan dan agensi kerajaan; dan pemimpin setempat.
Ewon berkata, penganjuran program itu merupakan susulan kepada Sambutan HPPK Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan Perdana Menteri pada 1 November lalu di Selangor.
Katanya, Beluran dipilih sebagai lokasi pertama daripada empat edisi sambutan yang dijadualkan berlangsung di Sabah sepanjang November hingga awal Disember ini.
“Selepas Beluran, sambutan ini akan diteruskan di Kota Marudu, Putatan dan diakhiri di Kota Belud.
“Mudah-mudahan pada tahun hadapan kita dapat meneruskan sambutan atau inisiatif ini di daerah-daerah lain pula,” katanya.
Beliau berkata, selain Sambutan HPPK, kementeriannya turut menganjurkan Karnival Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang mempunyai matlamat sama, iaitu menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.
Katanya, walaupun kedua-dua program itu mempunyai pendekatan dan tujuan penganjuran yang berbeza, kedua-duanya menjurus kepada satu objektif, iaitu menyediakan platform kepada usahawan untuk menjalankan aktiviti perniagaan di daerah yang menjadi tuan rumah.
Ewon berkata, Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sentiasa menghargai peranan dan sumbangan komuniti penjaja serta peniaga kecil dalam merancakkan aktiviti ekonomi negeri.
Sehubungan itu, katanya, kementerian akan terus meneliti dan memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu, termasuk bantuan keusahawanan serta program bimbingan bagi memperkukuh keupayaan dan daya saing golongan berkenaan.

Ewon menyempurnakan perasmian Mini Karnival HPPK Sabah 2026 Edisi Daerah Beluran.