TUARAN: Kegembiraan seorang lelaki mandi-manda di sungai bertukar tragedi apabila dia ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai dihanyutkan arus di River Bothung View Campsite, Kiulu, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa berusia 28 tahun ditemukan orang awam sebelum anggota bomba memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Beki, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik tapak perkhemahan berkenaan pada jam 4.15 petang.
Katanya, sepasukan anggota bomba digerakkan ke lokasi pada jam 4.16 petang sebelum menerima maklumat bahawa mangsa sudah ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.46 petang dan mengesahkan mangsa tidak sedarkan diri sebelum memberikan bantuan CPR.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 5.11 petang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, operasi berkenaan membabitkan enam anggota BBP Tuaran dengan bantuan dua anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan empat anggota jentera REVO.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.21 petang.

BANTUAN …. Anggota bomba memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa di lokasi kejadian.










