Oleh FARDY BUNGGA
SEMPORNA: Seramai 12 lelaki berpakaian wanita ditahan dalam operasi serbuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di Kampung Hidayat 2, Pulau Bum-Bum, di sini, semalam.
Semasa operasi berkenaan, semua lelaki terbabit dipercayai berpakaian wanita untuk menyertai pertandingan ratu cantik pondan yang dianjurkan di kampung berkenaan.
Ketua Operasi, Mohd Juseph Ahmad berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan hasil kerjasama Jheains dan pihak polis bagi menjalankan penguatkuasaan undang-undang berkaitan.
Katanya, hasil operasi berkenaan, pihaknya turut berjaya merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pertandingan berkenaan.
“Semua lelaki terbabit berpakaian seperti wanita dipercayai untuk menyertai pertandingan ratu pondan.
“Turut dirampas pelbagai barangan untuk pertandingan berkenaan iaitu piala, sijil, hamper dan beberapa barangan lain,” katanya.
Menurutnya, operasi berkenaan membabitkan kerjasama kedua-dua agensi dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang.
Bagaimanapun, katanya, maklumat lanjut mengenai kesalahan serta tindakan terhadap semua individu terbabit akan diperincikan dalam masa terdekat.

DITAHAN …. 12 lelaki bepakaian seperti wanita yang berjaya ditahan.


