Pemandu cedera ringan treler terbalik di persimpangan lampu isyarat

Oleh JAMES LEONG


TAWAU: Seorang pemandu lori treler mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan dipandunya terbalik di persimpangan lampu isyarat Kilometer 1, Jalan Utara, di sini, 19 November lalu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kenderaan terbabit ialah lori treler jenis Nissan CK 451 yang dipandu lelaki tempatan berusia 57 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dalam perjalanan dari Jalan Apas menuju ke Jalan Utara sebelum hilang kawalan ketika membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat kira-kira jam 4 petang.
Akibat kejadian itu, treler berkenaan terbabas ke bahu kiri jalan menghala ke Hilltop sebelum terbalik, menyebabkan kontena yang dibawanya tercabut daripada treler.
“Pemandu mengalami kecederaan ringan termasuk calar pada bahagian lengan dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran.
“Kemalangan itu turut mengakibatkan kerosakan pada bahagian hadapan kenderaan termasuk cermin hadapan yang pecah,” katanya.
Rosdi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959 (LN 166/59).
Katanya, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Nazri Najari menerusi talian 011-51118779 atau tampil ke balai polis berhampiran.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan kenderaan berada dalam kawalan, khususnya ketika melalui selekoh serta persimpangan.
Pemandu kenderaan berat juga dinasihatkan menyesuaikan kelajuan dan cara pemanduan mengikut keadaan jalan raya serta aliran trafik bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

TERBALIK …. Lori treler bersama kontenanya yang tercabut selepas terbabit dalam kemalangan di Tawau, Rabu lalu.