Oleh Wu Vuide
KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala selepas tergelincir di lantai tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Ahad.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Jamawi berkata, kejadian berlaku di tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar, yang terletak di kawasan ruang menunggu VIP lapangan terbang berkenaan.
Beliau berkata, keadaan lantai yang licin menyebabkan beliau terjatuh sebelum kepalanya terhantuk pada lantai sehingga memerlukan rawatan serta jahitan di Menara Medical Clinics KLIA.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat yang memberikan rawatan kepadanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, telah menasihatkan pegawai dan kakitangan Malaysia Airports supaya mengambil langkah penambahbaikan terhadap permukaan lantai tandas berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Beliau turut mencadangkan supaya laluan kecemasan disediakan bagi memudahkan akses ke klinik berhampiran sekiranya berlaku sebarang insiden.
Selain itu, katanya, kakitangan lapangan terbang juga perlu diberikan latihan bersesuaian supaya mampu melaksanakan tindakan awal ketika kecemasan, termasuk memberikan bantuan pertolongan cemas.
Jamawi berkata, beliau akan meneruskan perjalanan pulang ke Kota Kinabalu selepas melalui perjalanan dari Brasilia, Brazil, menerusi Sao Paulo dan Doha.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Brazil bagi menghadiri pertemuan dengan Kementerian Pertanian dan Penternakan Brazil (MAPA) di Brasilia.

Jamawi dengan kepalanya berbalut selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh di KLIA.





