Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kerjasama politik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu diteruskan bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri serta kelangsungan agenda pembangunan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kestabilan kerajaan amat penting bagi memastikan segala perancangan dan dasar pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata, GRS ditubuhkan bagi memenuhi aspirasi rakyat Sabah yang mahukan sebuah kerajaan negeri yang kukuh, stabil dan sentiasa mengutamakan kepentingan negeri.
“Kita mahu stabil. Kalau kita mahu stabil, kita kena bekerjasama dengan apa yang ada dalam kerajaan sekarang. Kerjasama kita dengan PH dan BN ini akan kita teruskan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan juga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri Sabah bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, malam Ahad.
Hajiji berkata, perjuangan politik perlu berlandaskan kejujuran serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri, bukannya sekadar menyampaikan kenyataan atau retorik tanpa disusuli tindakan.
Katanya, beliau mengambil iktibar daripada perkembangan politik sebelum ini dan berharap semua pihak yang berada dalam kerajaan dapat memberikan komitmen sepenuhnya terhadap kerjasama yang telah dibentuk.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, perbincangan rasmi mengenai kerjasama politik antara GRS, BN dan PH bagi menghadapi PRU akan datang masih belum dimulakan.
Bagaimanapun, katanya, kerjasama antara parti-parti berkenaan dalam kerajaan negeri ketika ini akan diteruskan.
Beliau berkata, pandangan daripada BN dan PH mengenai hala tuju kerjasama politik itu akan dibincangkan bagi mencapai persetujuan bersama, namun menegaskan bahawa GRS kekal sebagai peneraju kerajaan negeri.
“Jajaran politik dalam kerajaan sekarang ini, itulah yang kita teruskan. Nanti kita akan bawa berbincang untuk mencari persetujuan bersama. Tetapi bagi saya, kerajaan yang kita pimpin ini ialah kerajaan yang diketuai oleh GRS,” tegasnya.
Terdahulu, Hajiji turut mengingatkan pemimpin masyarakat supaya membantu menjelaskan kepada rakyat mengenai pencapaian kerajaan serta menangkis dakwaan dan tuduhan tidak berasas, khususnya yang disebarkan menerusi media sosial.
Katanya, pemimpin masyarakat perlu memastikan fakta sebenar mengenai pencapaian kerajaan dan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan disampaikan kepada rakyat supaya mereka tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri berjaya meningkatkan hasil Sabah daripada sekitar RM4 bilion ketika mula mengambil alih pentadbiran kepada hampir RM8 bilion.
Malah, rizab kewangan negeri turut meningkat daripada sekitar RM2.8 bilion kepada lebih RM7 bilion hasil pengurusan kewangan yang berhemah.
Menurutnya, peningkatan hasil berkenaan membolehkan kerajaan mengembalikan lebih banyak manfaat kepada rakyat, selain menyediakan peruntukan bagi pelaksanaan projek pembangunan seperti jalan raya kampung, jambatan dan peningkatan kapasiti bekalan air.
Menyentuh perkembangan industri minyak dan gas, Hajiji berkata, PETRONAS telah menemui dua telaga minyak di kawasan Sandakan yang berpotensi memulakan operasi pada 2029, dengan Sabah dijangka memperoleh pegangan ekuiti sebanyak 15 peratus.
Beliau berkata, usaha penerokaan di Pulau Sebatik juga berpotensi memberikan sekurang-kurangnya 25 peratus kepentingan kepada Sabah sekiranya berjaya, selain pulangan melalui pegangan ekuiti, cukai jualan negeri dan royalti.
Menurutnya, Sabah juga dijangka memperoleh 40 peratus kepentingan ekuiti menerusi projek kemudahan Gas Asli Cecair Terapung (FLNG) di perairan Pantai Barat negeri ini.
Selain itu, kira-kira 449 kontrak tempatan Sabah telah diberikan oleh PETRONAS kepada syarikat tempatan, berbanding kurang daripada 10 syarikat sebelum ini.
Katanya, perkembangan berkenaan merupakan antara hasil kerjasama kerajaan negeri dengan Petronas yang perlu diketahui dan difahami oleh rakyat.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan sesebuah kerajaan bukan hanya bergantung kepada dasar yang dirangka, tetapi juga keupayaan semua pihak, termasuk jabatan dan agensi kerajaan, untuk melaksanakan dasar berkenaan dengan berkesan.
“Kerajaan yang kuat bukan hanya terletak kepada dasar-dasarnya, tetapi juga kepada pelaksanaan yang akan dilakukan oleh tuan-tuan dan puan-puan serta jabatan-jabatan kerajaan.
“Kalau dasar yang telah kita buat ini tidak dapat dilaksanakan sebaik mungkin, ia juga boleh mendatangkan kegagalan kepada kita,” katanya.

Hajiji Haji Noor, menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan UPPM yang akan bersara wajib pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri bersama UPPM Sabah di SICC, pada Ahad.








