Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Transformasi digital Sabah perlu bergerak seiring dengan matlamat lebih luas agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam memperkukuh ekonomi, membangunkan modal insan, meningkatkan infrastruktur serta kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pendigitalan tidak seharusnya dilaksanakan secara berasingan daripada agenda pembangunan negeri, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pembangunan yang lebih berkesan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Digital Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, Rabu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, tema sidang kemuncak itu, “Membina Masa Depan Digital Sabah – Membuka Potensi Borneo Seterusnya: Memacu Inovasi, Kesalinghubungan dan Pertumbuhan Berteraskan AI”, mencerminkan tanggungjawab penting untuk memastikan kemajuan teknologi membawa manfaat lebih luas kepada negeri dan rakyat.
“Kita mesti memastikan kemajuan teknologi diterjemahkan kepada peluang yang lebih luas, perkhidmatan awam yang lebih baik serta peningkatan taraf hidup rakyat.
“Sabah sejak sekian lama dikenali dengan kekayaan sumber aslinya, termasuk hutan, sumber marin, tanah pertanian dan biodiversiti yang luar biasa.
“Semua ini kekal menjadi asas penting kepada identiti dan ekonomi kita. Aspirasi digital kita bukan untuk menggantikan kekuatan ini, tetapi untuk meningkatkan nilainya, menambah baik pengurusannya serta melindunginya demi generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata, Sabah berpeluang memperkukuh peranannya sebagai jambatan perdagangan serantau, perkhidmatan dan pertukaran pengetahuan berikutan kedudukannya yang strategik berhampiran pasaran negara jiran dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Bagaimanapun, katanya, kedudukan geografi semata-mata tidak menjamin kelebihan berkenaan tanpa sokongan infrastruktur yang boleh dipercayai, institusi berkeupayaan, tenaga kerja berkemahiran serta persekitaran yang menggalakkan pelaburan bertanggungjawab.
“Aspirasi kita mesti disertai usaha praktikal yang diperlukan untuk merealisasikannya,” katanya.
Menurut Hajiji, keutamaan transformasi digital Sabah saling berkait dan merangkumi kesalinghubungan serta infrastruktur digital yang boleh dipercayai, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu, pengkomputeran awan, kerajaan digital yang cekap, keselamatan siber, keusahawanan dan inovasi.
Keutamaan lain termasuk pembangunan bakat, keterangkuman digital luar bandar, kelestarian alam sekitar serta perdagangan digital rentas sempadan.
Beliau berkata, semua keutamaan itu perlu diterjemahkan kepada penambahbaikan yang dapat dirasai rakyat, manakala penggunaan AI pula perlu dilaksanakan dengan matlamat jelas dan penuh tanggungjawab.
“Nilai AI bukan sekadar terletak pada penggunaan teknologi baharu, tetapi keupayaannya menyelesaikan masalah sebenar, sama ada melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, peningkatan produktiviti, perancangan berasaskan maklumat atau kesiapsiagaan menghadapi bencana yang lebih kukuh.
“Oleh itu, sidang kemuncak ini perlu menjadi platform kerjasama praktikal. Marilah kita mengenal pasti masalah yang perlu diselesaikan, rakan kerjasama yang bersedia menyumbang serta projek yang boleh dilaksanakan, dinilai dan diperluas sekiranya berjaya,” katanya.
Hajiji menegaskan, kejayaan transformasi digital Sabah akhirnya perlu dinilai berdasarkan sejauh mana manfaatnya dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat.
Katanya, kemajuan digital yang hanya memberi manfaat kepada golongan yang mempunyai akses kesalinghubungan baik berisiko memburukkan lagi ketidaksamaan sedia ada.
“Kita tidak boleh menerima keadaan sedemikian. Keterangkuman digital yang bermakna memerlukan lebih daripada sekadar liputan rangkaian.
“Ia memerlukan bekalan elektrik yang stabil, perkhidmatan mampu milik, peranti bersesuaian, kemahiran praktikal serta keyakinan untuk menggunakan teknologi dengan selamat.
“Ia juga memerlukan perkhidmatan dan peluang pembelajaran yang mengambil kira bahasa, keadaan serta keperluan masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata, golongan muda juga perlu dilengkapi kemahiran bersesuaian supaya dapat mengambil bahagian sebagai pencipta, tenaga profesional dan usahawan, bukan sekadar pengguna teknologi.
Sehubungan itu, katanya, hubungan lebih erat perlu diwujudkan antara sekolah, institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), universiti, penyedia latihan serta pihak industri, termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Kita mesti mewujudkan laluan yang menghubungkan pembelajaran dengan peluang pekerjaan melalui pendedahan industri, latihan amali, program perantisan serta latihan profesional yang relevan.
“Pada masa sama, kita juga mesti menyokong pekerja dan pemilik perniagaan kecil yang perlu memperoleh kemahiran baharu seiring perubahan cara bekerja akibat perkembangan teknologi,” katanya.
Dalam usaha memberikan kejelasan serta meningkatkan keyakinan pelabur, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus menambah baik usaha memudah cara pelaburan, memperkukuh penglibatan dengan pihak industri serta menangani halangan pelaksanaan.
Katanya, kerajaan negeri turut mengharapkan pelabur dan rakan industri bukan sekadar membawa masuk modal atau memperkenalkan teknologi baharu, tetapi juga menjalin kerjasama strategik yang mampu membangunkan bakat anak Sabah, memperkukuh perusahaan tempatan, memindahkan pengetahuan serta membina keupayaan jangka panjang di negeri ini.
“Kita mahukan kerjasama strategik yang dapat membangunkan bakat anak Sabah, memperkukuh perusahaan tempatan, memindahkan pengetahuan serta membina keupayaan yang dapat dikekalkan di negeri ini untuk jangka panjang,” katanya.

SIDANG KEMUNCAK DIGITAL SABAH 2026: Datuk Ceasar Mandela Malakun (dua kiri) diiringi Pengerusi Yayasan Bumiputera Sabah, Datuk John Ambrose (dua kanan), bersama rakan-rakan kongsi Sidang Kemuncak Digital Sabah 2026.






