KOTA KINABALU: Persatuan Tarian Naga dan Singa Xuan Long Sabah menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn. Bhd., Datuk Victor Peter Paut, bagi membantu pembelian peralatan Tarian Singa, petang Selasa.
Penyerahan sumbangan itu berlangsung dalam suasana mesra ketika kunjungan wakil persatuan berkenaan yang diketuai jurulatihnya, Allen Yong Chun Wei, kepada Victor.
Menurut Allen, sumbangan berkenaan akan digunakan untuk membeli beberapa peralatan persembahan dan latihan, termasuk gendang, gong, cha (simbal), cha besar, bendera lori serta kain hiasan gendang Tarian Singa.
Katanya, pembelian peralatan itu diharap dapat membantu meningkatkan mutu latihan dan persembahan pasukan berkenaan.
Persatuan Tarian Naga dan Singa Xuan Long Sabah yang aktif dalam seni persembahan tradisional itu bukan sahaja berperanan memartabatkan warisan budaya masyarakat Cina, malah turut menjadi platform mendidik generasi muda menerusi penerapan nilai semangat berpasukan, disiplin dan keberanian.
Victor yang juga Ketua Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan berkata, beliau sentiasa berpegang kepada moto ‘Berbudi Kepada Rakyat’ dalam usaha menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang, termasuk menyokong aktiviti kebudayaan serta warisan masyarakat setempat.
Sebagai tanda penghargaan atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan, pihak persatuan turut menyampaikan cenderahati kepada Victor dalam kunjungan berkenaan.

PENGHARGAAN …. Allen Yong menyampaikan cenderahati kepada Victor sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan sumbangan yang diberikan kepada Persatuan Tarian Naga dan Singa Xuan Long Sabah.






