TENOM: Seorang lelaki berusia 63 tahun maut selepas dipercayai digilis kereta api ketika menggunakan troli kayu buatan sendiri untuk pulang dari kebun di landasan kereta api, di sini, petang Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, mangsa ditemukan tersepit di bawah gerabak kereta api yang sedang dalam perjalanan dari Beaufort menuju ke Tenom.
Mangsa dipercayai menggunakan troli kayu buatan sendiri untuk bergerak di sepanjang landasan dari Kampung Pangi menuju ke Pekan Tenom. Mangsa juga dilaporkan mempunyai masalah pendengaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung kejadian itu sebelum menggerakkan enam anggota bersama sebuah jentera ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa berada di bawah gerabak kereta api sebelum operasi mengeluarkannya dijalankan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan dipindahkan ke tempat selamat menggunakan pengusung sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pasukan bomba berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi kejadian berikutan laluan yang terhad dan tidak dapat dilalui jentera bomba.
“Sehubungan itu, anggota bomba mendapatkan bantuan penduduk kampung yang menyediakan troli bermotor buatan sendiri bagi membolehkan pasukan meneruskan perjalanan ke lokasi kejadian.
“Mangsa mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang pada bahagian kaki dan badan serta kecederaan di kepala sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.04 petang selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat,” katanya.

MAUT… Mangsa yang ditemukan di bawah gerabak kereta api berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.




