Pusat Rawatan Trauma, Rehabilitasi perlu diwujudkan di Sabah

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Sabah memerlukan sebuah hospital khusus yang berfungsi sebagai Pusat Rawatan Trauma dan Rehabilitasi serta menjadi pusat latihan unggul bagi perkhidmatan pra-hospital di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu penting bagi memperkukuh sistem rawatan kecemasan, khususnya dalam menangani kekurangan sumber manusia dan kelengkapan ambulans di seluruh negeri, termasuk di kawasan bandar dan pedalaman.
Menurutnya, penambahbaikan perkhidmatan pra-hospital atau ambulans perlu diberi perhatian bagi memastikan pesakit menerima rawatan kecemasan yang berkualiti, cekap dan tepat pada masanya.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di negara ini, termasuk di Sabah, diikuti penyakit serebrovaskular atau strok serta kemalangan jalan raya.
Statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut menunjukkan peningkatan panggilan kecemasan menerusi talian 999, iaitu daripada 14,256 panggilan pada 2024 kepada 15,434 panggilan pada 2025, manakala sebanyak 10,154 panggilan direkodkan setakat September tahun ini.
“Apabila menyebut rawatan kecemasan, pengoperasian perkhidmatan pra-hospital atau ambulans memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada rangkaian penjagaan kesihatan berterusan kepada masyarakat, khususnya dalam memastikan masa respons yang singkat dan pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026 di Menara Kinabalu, di sini.
Hajiji berkata, peranan pegawai yang terlatih sebagai ahli pertolongan cemas dalam kalangan masyarakat amat penting, khususnya ketika menunggu ketibaan ambulans dan pasukan perkhidmatan pra-hospital.
“Tindakan awal yang pantas, tepat dan berkesan bukan sahaja dapat mengurangkan risiko komplikasi, malah berupaya menyelamatkan nyawa mangsa.
“Sehubungan itu, usaha melatih lebih ramai ahli pertolongan cemas melalui penyediaan pasukan berkemahiran dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan amat penting bagi mengurangkan kadar kematian,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, Sabah mempunyai populasi kira-kira 3.4 juta orang yang tersebar di kawasan geografi yang luas, dengan kepadatan penduduk purata hanya 46 orang bagi setiap kilometer persegi.
Katanya, keadaan geografi berkenaan menjadikan bantuan awal daripada orang awam dan responden pertama komuniti yang terlatih, termasuk dalam memberikan bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR), amat penting dalam minit-minit awal sesuatu kecemasan.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran kursus berkenaan sebagai satu inisiatif tepat pada masanya, khususnya kerana ia julung kali melibatkan pengiring peribadi menteri, pembantu menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai di Jabatan Ketua Menteri.
“Usaha ini merupakan satu inisiatif yang baik dan wajar diteruskan secara berkala dengan melibatkan semua pengiring peribadi Yang Berhormat yang menguruskan perkhidmatan kepada rakyat di lapangan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai Datuk Dr. G. Mohan A. Gopal Naidoo dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri Sabah atas kejayaan menganjurkan kursus berkenaan.
“Saya berharap kursus ini bukan sahaja menjadi sumber inspirasi kepada pengiring peribadi yang belum mengikuti latihan seumpamanya, malah turut menjadi contoh kepada Dewan Undangan Negeri di seluruh Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menggalakkan setiap ADUN menggunakan sebahagian daripada peruntukan masing-masing bagi melatih dan menyediakan pasukan pertolongan cemas yang berkemahiran serta bersedia menghadapi sebarang kecemasan di kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing.
Katanya, inisiatif itu selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terus diberi keutamaan.
“Lebih ramai ahli pertolongan cemas dalam kalangan orang awam perlu dilatih bagi mencapai sasaran ‘Satu Orang Ahli Pertolongan Cemas Setiap Keluarga’,” katanya.

GIMIK PERASMIAN … Hajiji Haji Noor melakukan gimik perasmian penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026 di Menara Kinabalu.