Lelaki ditahan disyaki jual rokok seludup di Ranau

Oleh FARDY BUNGGA
RANAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penjualan rokok seludup dalam satu operasi Op Tiris di daerah ini, semalam.
Penahanan itu dilakukan hasil maklumat orang awam yang membawa kepada penemuan beberapa kotak mengandungi rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai kastam.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada usaha membanteras kegiatan penyelewengan barang bersubsidi dan penyeludupan di daerah ini.
Menurutnya, operasi itu turut melibatkan pemeriksaan lesen penjual dan pengedar barangan keperluan bersubsidi di beberapa premis sekitar Ranau.
“Hasil maklumat yang disalurkan masyarakat setempat, pemeriksaan membawa kepada penemuan beberapa kotak mengandungi rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai kastam.
“Susulan penemuan itu, seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, Mursalin merakamkan penghargaan kepada masyarakat setempat atas kerjasama dan keprihatinan menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan jenayah.
“Orang ramai merupakan ‘mata dan telinga’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyalurkan maklumat awal yang dapat membantu pihak polis mengambil tindakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Katanya, pihak polis akan terus mempergiatkan rondaan dan pemeriksaan menerusi Op Tiris bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang di daerah berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menerusi talian 088-875222.
Beliau memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

RAMPASAN… Antara kotak rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai kastam dan dirampas dalam operasi Op Tiris di Ranau.