Sumbang 12.3 peratus kepada ekonomi negeri – Jafry
Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Industri pelancongan Sabah terus mencatatkan prestasi positif apabila menjana nilai ditambah sebanyak RM14.4 bilion pada 2025, meningkat 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menyumbang 12.3 peratus kepada ekonomi negeri berbanding 11.9 peratus pada 2024.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pencapaian itu membuktikan sektor pelancongan kekal sebagai antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi negeri, selain menjadi sumber utama penjanaan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Menurutnya, penerbitan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah Sabah 2025 merupakan inisiatif Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) dengan kerjasama strategik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menyediakan data yang lebih menyeluruh dan berwibawa mengenai prestasi sektor pelancongan negeri.
“Ini merupakan langkah penting kementerian dalam memperkukuh perancangan dan penggubalan dasar berasaskan data, selain membolehkan kita mengukur dengan lebih tepat impak sebenar industri pelancongan terhadap ekonomi negeri dan kehidupan rakyat.
“Kejayaan sektor pelancongan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kedatangan pelancong semata-mata, tetapi juga sejauh mana industri ini menjana pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan laporan DOSM, perdagangan runcit merupakan penyumbang terbesar kepada Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP), iaitu sebanyak 45.6 peratus, diikuti perkhidmatan penginapan serta penyediaan makanan dan minuman sebanyak 30 peratus.
Sementara itu, penggunaan pelancongan dalaman meningkat 14.2 peratus kepada RM13.4 bilion pada 2025 berbanding RM11.7 bilion pada tahun sebelumnya.
Perbelanjaan pelancongan inbound turut mencatatkan peningkatan sebanyak 20.8 peratus kepada RM7.5 bilion, manakala perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 6.8 peratus kepada RM5.9 bilion.
Jafry berkata, perkembangan lebih signifikan dapat dilihat melalui peningkatan peluang pekerjaan dalam industri berkaitan pelancongan yang menyediakan pekerjaan kepada 415,100 orang pada 2025, meningkat 7.1 peratus berbanding 387,600 orang pada 2024.
“Hampir satu daripada setiap empat individu yang bekerja di Sabah terlibat dalam industri berkaitan pelancongan. Ini jelas menunjukkan bahawa pelancongan bukan sekadar sebuah industri, tetapi juga sumber ekonomi dan mata pencarian kepada ratusan ribu rakyat Sabah.
“Data ini turut memberikan keyakinan kepada kerajaan negeri dan pemain industri untuk terus memperkukuh pelaburan, membangunkan produk pelancongan serta meningkatkan penyertaan komuniti tempatan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DOSM atas kerjasama dalam menjayakan inisiatif berkenaan yang disifatkannya sebagai penting dalam memperkukuh perancangan pembangunan sektor pelancongan negeri.
Katanya, dapatan laporan itu akan menjadi rujukan penting kepada KePKAS dalam merangka strategi pembangunan industri pelancongan, khususnya menjelang penganjuran Tahun Melawat Sabah 2027.
“Komitmen kita adalah untuk memastikan pertumbuhan industri pelancongan Sabah terus mampan, berdaya saing dan inklusif.
“Apabila pelancongan Sabah berkembang, ekonomi negeri mesti bertambah kukuh dan rakyat Sabah juga mesti menikmati manfaatnya,” katanya.

Jafry Ariffin.




