RM100,000 perkasa pembangunan Tadika Grace Kids

Oleh JOHN TAMBANAN


KUDAT: Pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di daerah ini terus diperkukuh apabila projek Tadika Grace Kids di Batu 2 menerima peruntukan RM100,000 bagi menyokong pelaksanaan pembinaannya.
Peruntukan itu diumumkan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Julita Majungki, bersempena Majlis Pecah Tanah dan Pemberkatan Tapak projek berkenaan pada 27 Februari lalu.
Julita diwakili Setiausaha Politiknya, Marius Masain, pada majlis tersebut.
Menurut kenyataan, peruntukan berkenaan dijangka mempercepatkan proses pembinaan serta memastikan kemudahan pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif dapat disediakan kepada kanak-kanak di bawah Lembaga Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PCS).
Dalam ucapannya, Marius berkata pendidikan awal memainkan peranan penting dalam membentuk asas perkembangan kanak-kanak dari segi kognitif, emosi dan sosial.
“Pelaburan dalam pendidikan awal bukan sekadar membina infrastruktur, sebaliknya membentuk persekitaran yang selamat dan kondusif agar kanak-kanak dapat memulakan perjalanan pembelajaran dengan yakin dan terarah,” katanya.
Beliau berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperluas akses kepada pendidikan awal yang berkualiti, khususnya di kawasan luar bandar.
Majlis berkenaan turut dihadiri wakil komuniti setempat dan pihak pengurusan tadika yang menyambut baik inisiatif tersebut sebagai langkah signifikan dalam memperkasa pendidikan awal di Kudat.

PECAH TANAH …. Marius Masain mewakili Julita Majungki pada Majlis Pecah Tanah dan Pemberkatan Tapak projek Tadika Grace Kids di Batu 2, Kudat.