KOTA KINABALU: Penglibatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) diperlu dalam usaha memperkasakan agenda wanita di Sabah, kata Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun.
Beliau berkata, ia bagi membolehkan golongan berkenaan turut serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan negeri dengan lebih berkesan.
“Sokongan tersebut boleh diterjemahkan melalui penganjuran program latihan, pendidikan, keusahawanan serta advokasi hak wanita,” katanya semasa berucap pada Perbincangan Meja Bulat Memperkasa Wanita: Menuju Masa Hadapan Yang Lebih Inklusif (Perspektif NGO) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) kelmarin.
Azizah berkata, bantuan NGO bakal membuka ruang dan peluang kepada lebih ramai wanita untuk berdikari dan meningkatkan taraf hidup mereka sekali gus menjadikan mereka lebih berperanan dalam sektor ekonomi dan pembangunan.
“Kita perlu terus menyokong dan berkolaborasi dengan NGO untuk memastikan usaha ini dapat diteruskan dan diperluaskan.
“Melalui penyelidikan dan dasar yang berimpak tinggi, IDS komited untuk memperkasa peranan dan bakat wanita.
“Kita percaya bahawa dengan pendekatan yang bersepadu, kita boleh menghasilkan perubahan yang lebih bermakna dan berkekalan.
“Kita perlu memastikan suara wanita terus didengar dalam pembentukan dasar dan keputusan penting,” katanya.-JT








