PITAS: Masyarakat di daerah ini digesa agar terus mengukuhkan ikatan persaudaraan dan persahabatan dan usah terlalu taksub dalam politik kepartian, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Oil & Gas Development Coorperation Sdn Bhd, Datuk Haji Harun Haji Ismail.
Katanya, persaudaraan dan persahabatan perlu menjadi keutamaan masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum, berbilang agama malah berlainan fahaman politik.
Berucap merasmikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Saniton Pitas di Dewan Serbaguna Kampung Mandurian dekat sini baru-baru ini, beliau berkata, sambutan Aidilfitri adalah satu peluang kepada masyarakat berbilang kaum untuk saling ziarah menziarahi dan bertanya khabar antara satu sama lain.
“Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini adalah peluang untuk menyantuni masyarakat dari pelbagai bangsa agar jalinan silaturahim dan semangat perpaduan diperkukuhkan lagi,”katanya sambil menambah ia juga memberi peluang kepada yang mampu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang kurang mampu.
Dalam majlis itu, Harun yang juga Presiden Pertubuhan Dusun Islam (PDIS)menyampaikan kerusi roda kepada salah seorang pesakit.
Selain itu, beliau dan isteri menyampaikan sumbangan duit raya kepada 100 orang golongan Asnaf pelbagai kategori warga emas, OKU, mualaf dan sebagainya.
Hadir sama, isteri Harun Datin Hajjah Siti Mariam Wong, pengerusi pelaksana program Hilorince Rosleen, CDO Pitas Ariffin Matasin, Ketua Wanita USIA Daerah Pitas Aminah Mindoh dan ahli jawatankuasanya, Marudin O.T. Suabon, pemimpin komuniti dari kampung-kampung dalam Pusat Daerah Mengundi PDM Saniton, dan masyarakat setempat.
Turut hadir, Pegawai Khas kepada Harun, Ikmal Atong, Abdul Majid Tarip@Man dan kraw, Ahli Jawatankuasa PGRS Stanly @ Awit Lumbihan dan Mikson.







