KOTA KINABALU : Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencungkil bakat muda dalam industri hospitaliti melalui penganjuran pertandingan dan pameran kemahiran berkaitan hospitaliti.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata penganjuran tersebut penting bagi meneroka bakat para pelajar daripada institusi pendidikan awam dan swasta di sekitar Kota Kinabalu.
Katanya program tersebut memainkan peranan penting dalam mempromosikan UMS sebagai institusi pendidikan unggul yang komited dalam pembangunan insan dan pengukuhan bidang hospitaliti sejajar dengan slogan baharu ‘UMS:The Brain of Borneo’.
“Saya berharap agar program ini dapat mengekalkan momentum dalam melahirkan bakat pengurusan acara hospitaliti dalam kalangan generasi muda, serta terus dijalankan dan diperkasakan pada tahun-tahun akan datang sebagai sebahagian daripada penilaian akhir kursus.
“Semoga dengan penganjuran program ini, kita akan sentiasa berusaha untuk menyatukan seluruh tenaga kita dengan segala keprihatinan yang kita ada, bagi memperkasa lagi ikatan antara pelajar dalam dan luar UMS, ” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program ‘UMS Hospitality Fiesta 2025’ anjuran FPEP UMS, baru-baru ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abdul Karim.
‘UMS Hospitality Fiesta 2025’ merupakan anjuran pelajar tahun akhir kursus Pengurusan Acara Hospitaliti FPEP UMS dengan tema pertandingan berfokuskan kemahiran dalam bidang hospitaliti.








