KOTA KINABALU: Parti-parti tempatan di Sabah perlu terus memperkukuh dan mempertahankan kerjasama bagi memastikan agenda pembangunan serta perjuangan membela hak rakyat negeri ini dapat direalisasikan.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata kerjasama itu penting, khususnya dalam memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada negeri ini.
“Apabila parti-parti tempatan bergabung dan bekerja keras sebagai satu pasukan, kita dapat memastikan perkara yang diperjuangkan untuk rakyat Sabah menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Exco Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang diketuai Ketua Wanita UPKO, Mohina Ronnie Sidom, di Wisma IDS, di sini.
Azizah berkata semua pihak perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan perbezaan demi mengekalkan kerjasama, selain mengutamakan kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pembentukan GRS yang menghimpunkan parti-parti tempatan mencerminkan kematangan politik di Sabah, sekali gus membuka ruang kepada semua pihak mencari titik persamaan untuk memperkukuh kedudukan negeri ini dalam Persekutuan Malaysia.
“Semangat ini selari dengan prinsip Sabah First dan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Dengan kerjasama yang kukuh, kita dapat melaksanakan pelbagai usaha demi kemakmuran dan kemajuan negeri. Sebab itu, kerjasama dalam gabungan ini mesti kita pertahankan,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Wanita UPKO, Prisca Papaya; Penolong Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Atin Belinda; Timbalan Ketua Penerangan Wanita GRS, Lailawati Ahmad Bahrom serta barisan Exco Wanita UPKO.

CENDERAMATA … Azizah menyampaikan cenderamata sempena kunjungan hormat Exco Wanita UPKO ke Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).








