WP LABUAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pinc Technology Sdn Bhd (PINC) menjalinkan kerjasama pintar menerusi Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi serta Pelancaran Program Marinehack 2025 yang diadakan di Bilik Eureka, Bangunan Menara, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).
Perjanjian Kolaborasi itu ditandatangani Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), UMS, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal yang mewakili Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor bersama Pengarah Urusan PINC Technology Sdn Bhd, Josef Wong Ming Chong.
Dr. Kasim berkata usahasama ini bukan sekadar satu majlis tandatangan simbolik malah ia mencerminkan penyelarasan strategik antara dunia akademik dan industri, yang menekankan komitmen bersama terhadap inovasi, pembangunan mampan, transformasi digital dan pemerkasaan belia.
Katanya, dalam menghadapi era maritim yang semakin kompleks, kerjasama antara UMS dan PinC Technology Sdn. Bhd. ini dijangka menjadi pemangkin kepada impak yang bermakna dengan membolehkan pelajar membangunkan penyelesaian praktikal berasaskan teknologi untuk menangani cabaran dalam sektor maritim.
“Inisiatif ini menggabungkan pengetahuan akademik dengan kepakaran teknologi sebenar, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet Pelbagai Perkara (IoT) dan Analitik Data Raya, sekali gus memperkasakan pelajar bukan sahaja untuk mencetus idea, malah menghasilkan prototaip, menguji dan menambah baik inovasi mereka selaras dengan keperluan semasa industri, ”katanya berucap merasmikan majlis berkenaan.
Teks ucapan beliau dibacakan Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal.
MarineHack 2025, yang bertemakan ‘Menelusuri Masa Hadapan: Penyelesaian Pintar untuk Industri Maritim yang Mampan’, merupakan sebuah pertandingan hackathon peringkat kebangsaan yang bertujuan untuk merangsang penyelesaian berfikiran ke hadapan dalam logistik maritim, keselamatan, pemantauan alam sekitar, dan kelestarian.





