KOTA KINABALU: Pendapatan kasar RM1.4 juta pada 2025 mencatat rekod keuntungan buat tahun keempat berturut-turut bagi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Inanam.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPK Inanam, Benny Franklin Hartheman berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pengurusan strategik organisasi serta komitmen tinggi ahli peladang dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian di kawasan berkenaan.
“Kejayaan berterusan ini hasil usaha bersepadu antara Ahli Jemaah Pengarah, pihak pengurusan dan seluruh ahli peladang yang konsisten memperkukuh operasi serta memperluas aktiviti ekonomi pertanian.
“Prestasi memberangsangkan ini membuktikan organisasi peladang mampu mencapai kestabilan kewangan dan pertumbuhan mampan sekiranya pengurusan dilaksanakan secara berdisiplin serta berpandukan perancangan strategik yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pertama AJP PPK Inanam 2026 di pejabat pertubuhan itu di Bandar Putera KM15 Jalan Tuaran pada Khamis.
Katanya, kejayaan itu mengukuhkan peranan PPK Inanam sebagai pemacu pembangunan ekonomi peladang setempat sekali gus menyumbang kepada pengukuhan sektor agromakanan di Sabah.
Menurutnya, pendapatan utama PPK Inanam setakat ini banyak disumbangkan daripada pemasaran barang runcit terutama beras serta kerja-kerja kontrak.
“PPK Inanam akan terus memberi fokus kepada pembangunan kapasiti ahli, penerapan teknologi pertanian moden dan penerokaan peluang ekonomi baharu bagi memastikan momentum pertumbuhan dapat dikekalkan pada masa hadapan,” katanya.

MESYUARAT … Benny (lima kanan) dan Pengurus Besar PPK Inanam, Sundang Tingkolom (empat kanan) bersama barisan AJP PPK Inanam di hadapan bangunan pejabat PPK Inanam di Bandar Putera Jalan Tuaran.




在主持工程部廉政週推介後在記者會上發言,左為助理部長拿督里慕斯朱利。-100x70.jpg)




