KPDN sasar 20,000 siri PJRM tahun ini – Armizan

Oleh JOHN TAMBANAN

PUTRAJAYA: : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan mandat bagi meningkatkan pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) melalui peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, melalui peruntukan tambahan ini, KPDN akan melaksanakan tiga elemen penambahbaikan utama dalam pelaksanaan PJRM 2025.

Pertama katanya, meningkatkan kekerapan pelaksanaan PJRM di seluruh negara, meliputi kesemua 222 kawasan parlimen dan 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara serta 40 zon di Wilayah Persekutuan.

“KPDN menyasarkan sebanyak 20 ribu siri pelaksanaan PJRM sepanjang tahun 2025,” katanya.

Kedua katanya, meningkatkan bilangan jenis Stock Keeping Unit (SKU) barangan keperluan asas yang ditawarkan secara bersasar berdasarkan permintaan golongan sasar setempat dan keperluan musim tempoh penganjuran seperti musim perayaan.

“Dan ketiga, melibatkan lebih banyak rakan strategik peruncitan dalam pelaksanaan PJRM melalui kaedah PJRM Bergerak, Dalam Premis dan Luar Premis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan semasa mengadakan tinjauan pelaksanaan PJRM di bangunan KPDN di sini.

PJRM ini bukan haja terbuka kepada penjawat awam sekitar bangunan KPDN tetapi juga pengunjung penduduk sekitar yang tidak berkhidmat dengan kerajaan.

Armizan berkata, KPDN telah menyediakan Takwim PJRM di lawan sesawang kementerian untuk rujukan maklumat pelaksanaan PJRM di seluruh negara.

“Dengan pengumuman tambahan peruntukan pelaksanaan PJRM bagi tahun 2025, KPDN akan mengemas kini penjadualan tambahan PJRM dari semasa ke semasa,” katanya.

Armizan berkata, KPDN amat mengalu-alukan dan menghargai inisiatif dan ikhtiar berpaksikan kesejahteraan rakyat yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada 23 Julai 2025.

“Keseluruhan inisiatif dan ikhtiar yang diumumkan terkait secara langsung dengan agenda menangani isu kos sara hidup dalam bentuk mitigasi atau intervensi isu harga secara bersasar dan tambahan kepada bantuan sara hidup,” katanya.

ARMIZAN ditemui wartawan semasa mengadakan tinjauan pelaksanaan PJRM di bangunan KPDN, Putrajaya.