Muafakat 74 penduduk jayakan Gotong-Royong Perdana Kg Marampong

KENINGAU: Kehadiran 74 penduduk dalam Program Gotong-Royong Perdana Kampung Marampong membuktikan semangat muafakat membawa berkat terus subur dalam kalangan masyarakat setempat apabila mereka berganding bahu menceriakan kampung secara sukarela.
Program yang diketuai oleh Pemaju Mukim Marampong/Bunga Raya, Mohd Anis Tahir, di kawasan DUN Bingkor itu menyaksikan penduduk pelbagai lapisan usia bersama-sama membersihkan kawasan awam, memotong rumput, membersihkan longkang dan mengutip sisa bagi memastikan persekitaran kampung kekal bersih, selamat serta kondusif.
Penyertaan memberangsangkan itu mencerminkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, di samping memperlihatkan kerjasama erat antara penduduk dalam memikul tanggungjawab terhadap kesejahteraan kampung.
Mohd Anis berkata, budaya bergotong-royong perlu terus diperkasakan kerana bukan sahaja meningkatkan kualiti persekitaran, malah menjadi wadah mengukuhkan perpaduan, mempererat hubungan silaturahim dan menyemai semangat saling membantu dalam komuniti.
Kehadiran 74 peserta menjadi bukti bahawa apabila masyarakat bersatu hati, setiap usaha mampu dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Semangat kebersamaan yang dipamerkan penduduk Kampung Marampong wajar dicontohi komuniti lain sebagai asas membina masyarakat yang bersatu, prihatin dan berdaya tahan.

Mohd Anis mengetuai program gotong-royong perdana Kg Marampong.