PENAMPANG: Mesyuarat Agung Perwakilan Tritahunan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Bahagian Penampang meluluskan sebulat suara usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan bagi penggal ini.
Usul yang dibentangkan Ketua Cawangan Upko Tulung, Felix Sikou, bertujuan memastikan kestabilan kepimpinan parti agar seluruh jentera dapat memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan organisasi serta menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-17 (PRU17).
Menurut Felix, cadangan itu bukan untuk menafikan amalan demokrasi dalam parti, sebaliknya mengambil kira landskap politik semasa yang memerlukan kepimpinan stabil bagi memastikan gerak kerja parti tidak terganggu.
Beliau berkata, pertandingan bagi jawatan lain masih diteruskan bagi memberi ruang kepada pelapis kepimpinan baharu sekali gus membuktikan Upko terus mengamalkan prinsip demokrasi.
“Keutamaan kita ialah memastikan parti terus bersatu, memperkukuhkan sokongan rakyat dan menyusun jentera di semua peringkat bagi menghadapi PRU17,” katanya ketika membentangkan usul pada mesyuarat yang dirasmikan Presiden Upko, Datuk Ewon Benedick.
Dalam mesyuarat sama, para perwakilan turut meluluskan usul menggesa kepimpinan parti memperjuangkan pertambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Penampang menerusi proses persempadanan semula.
Usul itu dibentangkan Ketua Pemuda Upko Penampang, Billy Joe Dominick yang mencadangkan pembentukan Parlimen Kapayan merangkumi DUN Bahang dan DUN Ganang, manakala Parlimen Penampang merangkumi DUN Moyog dan DUN Limbanak.
Menurutnya, pertambahan kerusi wajar dipertimbangkan berikutan peningkatan jumlah penduduk, pembangunan pesat dan peluasan kawasan perbandaran di Penampang.
Katanya, langkah itu akan mewujudkan representasi politik yang lebih seimbang, memudahkan pentadbiran serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Kedua-dua usul berkenaan menerima sokongan daripada beberapa perwakilan termasuk wakil Pemuda, Generasi Muda dan cawangan-cawangan Upko di Penampang.-John Tambanan.

ALBUM …. Para perwakilan bergambar bersama Presiden Upko, Ewon selepas perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tritahunan Upko Bahagian Penampang.








