Ubah protes kepada pembangunan

KOTA KINABALU: Belia Sabah diseru agar menterjemahkan semangat perjuangan mereka kepada usaha membina kapasiti, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan daya saing negeri, bukan sekadar menyuarakan bantahan di jalanan.
Seruan itu disampaikan oleh seorang penceramah jemputan NGO, Dr. Davina Markus, ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 atas jemputan Persatuan Pemangkin Komuniti Sabah di sini, pada malam Ahad.
Beliau berkata, kemarahan terhadap rasuah dan kelemahan sistem adalah sesuatu yang difahami, namun perjuangan tersebut perlu dipandu dengan kebijaksanaan supaya tidak dimanipulasi oleh pihak yang mempunyai agenda tertentu.
“Semangat patriotisme anak muda perlu dipelihara. Jangan biarkan perjuangan yang ikhlas digunakan oleh pihak luar untuk kepentingan mereka sendiri,” katanya.
Dalam ucapannya, Dr. Davina turut menjawab beberapa kritikan yang diterimanya di media sosial, termasuk berhubung pendiriannya mengenai autonomi imigresen Sabah.
Menurutnya, pendiriannya sentiasa berpaksikan kepada kepentingan negeri Sabah. “Apa yang membawa manfaat kepada Sabah akan saya sokong, manakala perkara yang merugikan Sabah akan saya tentang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kuasa imigresen negeri serta perjuangan menuntut hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak harus disalah tafsir sebagai usaha melindungi mana-mana pihak daripada penelitian awam.
Sebaliknya, katanya, langkah tersebut bertujuan mempertahankan autonomi negeri daripada campur tangan luar serta memastikan hak-hak Sabah terus dipelihara.
Pada masa sama, beliau menggariskan tiga agenda utama yang perlu diberi perhatian oleh golongan belia iaitu memperkukuh perpaduan tanpa mengira kaum dan agama, mengangkat prinsip meritokrasi dalam kepimpinan serta beralih daripada budaya membantah kepada budaya membina.
Dr. Davina turut menggesa generasi muda menguasai bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan, kewangan dan pertanian moden sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi global.
“Gunakan usia muda untuk membina kepakaran, mencipta peluang pekerjaan, melahirkan usahawan dan memperkukuhkan ekonomi Sabah.Masa depan negeri ini bergantung kepada kemampuan kita membina kekuatan sendiri,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru rakyat Sabah supaya mengubah cara berfikir daripada terus melihat kelemahan masa lalu kepada membina masa depan yang lebih progresif.
Beliau menegaskan bahawa perpaduan, integriti, ilmu dan kecemerlangan ekonomi merupakan asas penting dalam memastikan Sabah terus maju serta mampu bersaing pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 berakhir dalam suasana aman dengan mesej jelas bahawa suara belia bukan sahaja penting dalam menyuarakan aspirasi rakyat, malah perlu diterjemahkan kepada tindakan membina demi kemajuan Sabah.

Dr. Davina