95 taska tidak berdaftar dikesan di Sabah

KOTA KINABALU: Sebanyak 95 taska tidak berdaftar dikesan beroperasi di Sabah setakat ini, sekali gus mendorong ibu bapa disaran menghantar anak ke taska berdaftar bagi menjamin aspek keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata sebahagian daripada taska terbabit kini masih dalam proses memohon kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata, walaupun kes penderaan kanak-kanak boleh berlaku di mana-mana termasuk di rumah, taska berdaftar menawarkan perlindungan yang lebih baik kerana tertakluk kepada pemantauan dan penguatkuasaan pihak berkuasa.
“Kita perlu mencari penyelesaian bagi mengenal pasti punca berlakunya penderaan dan pada masa sama memperkukuhkan langkah pencegahan.
“Ibu bapa juga perlu sedar bahawa menghantar anak ke taska tidak berdaftar mendedahkan mereka kepada risiko lebih besar kerana tiada pemantauan berkala dijalankan,” katanya
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata demikian ketika merasmikan penutupan Sambutan Hari Taska Peringkat Negeri Sabah, di sini.
Menurutnya, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) kini menjadi syarat wajib bagi semua taska berdaftar sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan kanak-kanak.
“Semua taska yang ingin berdaftar perlu memenuhi syarat ditetapkan termasuk pemasangan CCTV bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa dipantau,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Julita berkata Sabah masih berdepan kekurangan kemudahan penjagaan awal kanak-kanak apabila hanya kira-kira 230 taska berdaftar beroperasi di seluruh negeri.
Katanya, berdasarkan unjuran semasa, jumlah kanak-kanak berusia antara sifar hingga empat tahun di Sabah dijangka mencecah 445,000 orang menjelang 2030, sekali gus memerlukan kira-kira 110,000 tempat di taska.
“Pelaburan dalam pembangunan awal kanak-kanak bukan sahaja penting bagi kesejahteraan keluarga, malah menjadi pelaburan strategik dalam membangunkan modal insan dan masa depan Sabah,” katanya.
“Kerajaan negeri akan terus berusaha menambah kapasiti taska berdaftar bagi memenuhi keperluan penjagaan awal kanak-kanak yang semakin meningkat di negeri ini,” katanya.

KENANGAN …. Julita bergambar bersama Ivy Benjamin Botingon dan penganjur selepas penutupan Sambutan Hari Taska Peringkat Negeri Sabah.