Utamakan pengusaha Bumiputera: Pembangunan kraftangan perlu inklusif

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Pengusaha Kraftangan Kota Kinabalu Sabah (PPKKKS), Haji Ruhil Sailadjan, menegaskan bahawa kepentingan pengusaha Bumiputera mesti menjadi keutamaan dalam setiap cadangan pembangunan kawasan kraftangan di negeri ini.
Beliau yang telah menerajui PPKKKS selama 26 tahun tanpa bertanding berkata, pengusaha Bumiputera bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian budaya, malah menjadi pemacu ekonomi kreatif Sabah.
“Pengusaha Bumiputera adalah pewaris seni dan budaya negeri. Mereka menghasilkan produk yang bukan sekadar bernilai komersial, tetapi juga membawa identiti Sabah ke mata dunia. Justeru, pembangunan mesti mengambil kira kedudukan mereka agar tidak terpinggir,” katanya.
Sejak ditubuhkan, PPKKKS yang kini memiliki lebih 200 ahli berfungsi sebagai wadah penyatuan pengusaha kraftangan di Kota Kinabalu. 
Di bawah kepimpinan Haji Ruhil, persatuan ini telah memperjuangkan pelbagai inisiatif selain memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan bagi memperluas pasaran produk kraftangan.
Menurut beliau, sokongan berterusan daripada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan amat penting untuk memastikan industri ini terus berkembang. 
“Kita mahu pembangunan yang seimbang – bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi juga memperkukuh ekosistem pengusaha kecil dan sederhana,” jelasnya.
Selain menyumbang kepada ekonomi, ia juga berperanan memelihara warisan budaya masyarakat tempatan.
Haji Ruhil menambah bahawa semakin ramai anak muda Bumiputera kini menceburi bidang kraftangan, menunjukkan minat yang mendalam terhadap seni tradisional. 
“Ini adalah perkembangan positif. Dengan dasar yang inklusif, kita boleh melahirkan generasi baharu pengusaha yang lebih kreatif dan berdaya saing,” ujarnya.
Beliau berharap agar setiap cadangan pembangunan kawasan kraftangan di Kota Kinabalu akan dirangka dengan mengambil kira kepentingan pengusaha Bumiputera.
 “Kita mahu pembangunan yang bukan sahaja moden, tetapi juga berakar pada budaya dan identiti masyarakat,” katanya.

AMBILKIRA KEPENTINGAN PENGUSAHA BUMIPUTERA … Pengusaha kraftangan dalam mesyuarat agung PPKKKS di ibu negeri.