Francis Landong gegar Hilton KK, angkat muzik Sabah sebagai khazanah bernilai tinggi dan kebanggaan negeri
Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Artis legenda Sabah, Francis Landong terus menggegarkan persada muzik tanah air sempena sambutan Pesta Kaamatan yang berlangsung di seluruh negeri sejak awal Mei lalu.
Tokoh muzik Sabah yang bertahan sejak era 1980-an dan masih aktif membuat persembahan sehingga kini itu terus mekar sebagai permata seni yang tidak pernah pudar ditelan zaman.
Francis bukan sekadar penghibur, malah menjadi suara hati rakyat Sabah yang sekian lama menyulam irama budaya dalam denyut kehidupan masyarakat negeri ini.
Sempena Pesta Kaamatan 2026 bertemakan “Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian”, kehadiran beliau menerusi program “7 Minit Lagi” di Hilton Kota Kinabalu menjadi antara detik paling dinanti-nantikan peminat muzik tempatan.
Sejurus muzik bergema, suasana di The Club bagaikan hanyut dalam nostalgia, seolah-olah membawa pengunjung pulang ke kampung halaman untuk meraikan Kaamatan bersama keluarga dan sahabat handai.
Lagu-lagu popular seperti Koupusan, Aramai Tih, Nung Noilaan Ku Daa, Pikir-Pikir Dulu serta medley 7 Minit Lagi nyata menghangatkan suasana dengan alunan suara Francis yang lunak, beremosi dan sarat dengan sentuhan tradisi.
Beliau turut bijak berinteraksi dengan pengunjung sepanjang persembahan sehingga berjaya menghidupkan suasana hingga ke penghujung acara.
Bait-bait nyanyiannya pula ibarat desiran angin dari kampung halamannya di Tambunan yang membawa aroma sawah padi menguning menjelang musim Kaamatan.
Turut memeriahkan persembahan malam itu ialah MJ & The Vibez serta DJ Syful.
Sebagai ikon muzik tempatan, populariti Francis sememangnya tidak pernah luntur. Sehari sebelum tampil di Hilton, beliau berada di Tongod sempena sambutan Pesta Kaamatan daerah yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
Keesokan harinya, beliau dijadualkan ke Sook bagi menghiburkan pengunjung sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 sebelum kembali ke Tambunan untuk memenuhi undangan Pesta Kaamatan daerah itu.
Menurut Francis, jadual persembahannya sepanjang Mei jauh lebih padat berbanding bulan-bulan lain.
“Saya sangat menghargai undangan daripada Hilton pada malam ini,” katanya sambil disambut sorakan dan tarian Sumazau oleh para pengunjung.
Keunikan irama lagu-lagunya yang dekat dengan jiwa masyarakat menjadikan persembahan itu terus hidup apabila penonton turut sama menyanyi tanpa segan silu.
Kehadiran Francis dalam program “7 Minit Lagi” itu juga dilihat sebagai simbol penghormatan kepada artis tempatan yang terus mengangkat martabat muzik Sabah ke tahap lebih tinggi.
Lebih istimewa, persembahan tersebut berlangsung ketika semangat Kaamatan sedang memuncak di seluruh negeri menjelang acara kemuncak sambutan di Hongkod Koisaan pada 30 dan 31 Mei ini.
Dalam ruang sederhana di kelab hotel itu, Francis berjaya menghadirkan suasana yang jauh lebih besar daripada sebuah persembahan biasa — menyatukan seni, budaya dan kenangan dalam malam penuh nostalgia.
Ramai pengunjung dilihat merakam persembahan menggunakan telefon bimbit, namun momen sebenar jelas terpahat kemas dalam ingatan masing-masing.
Malah, ramai turut mengambil peluang berswafoto bersama beliau bagi mengabadikan kenangan istimewa itu.
Dalam setiap lagu yang dipersembahkan, terselit bahasa jiwa rakyat Sabah yang sederhana, namun penuh makna dan menyentuh perasaan.
Dianugerahkan darjah kebesaran negeri Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) pada 2023, Francis terus membuktikan bahawa muzik Sabah merupakan khazanah seni bernilai tinggi dan kebanggaan Negeri Di Bawah Bayu.

TERBAIK …. Antara pengunjung yang mengambil kesempatan merakam gambar kenangan bersama Francis pada malam persembahan “7 Minit Lagi” di Hilton Kota Kinabalu.






