Oleh JAMES LEONG
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Lahad Datu menggagalkan cubaan menyeludup 240 liter petrol dan sebuah motosikal ke negara jiran di perairan Felda Sahabat, Tungku, pada 14 Oktober.
Rampasan membabitkan barangan dengan anggaran nilai keseluruhan RM50,000 itu dilakukan menerusi operasi bersepadu di bawah Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata operasi berdasarkan maklumat risikan itu mengesan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran yang mencurigakan, dilengkapi enjin sangkut, kira-kira 0.35 batu nautika barat daya Kampung Sinakut Tengah.
“Apabila menyedari bot peronda penguat kuasa menghampiri, suspek memecut ke arah pesisir pantai sebelum meninggalkan bot berkenaan dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran,” katanya.
Pemeriksaan lanjut terhadap bot yang ditinggalkan itu menemukan 12 bekas berisi petrol dengan anggaran keseluruhan 240 liter serta sebuah motosikal.
Barangan kawalan dan motosikal berkenaan dipercayai untuk diseludup secara haram ke negara jiran.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.
Bot serta semua barang rampasan dibawa ke Pangkalan APMM Felda Sahabat untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Dzulfikhar berkata, pihaknya akan mempergiat operasi penguatkuasaan dan rondaan bersepadu bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta memelihara kedaulatan dan keselamatan perairan Malaysia.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi APMM Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan MERS 999.

Anggota APMM Zon Lahad Datu memeriksa bot yang ditinggalkan di perairan Tungku pada 14 Oktober.




