Tiga jawatan utama PMBS Pusat
KOTA KINABALU: Tiga jawatan utama iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden 1 Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) untuk Sesi 2026-2028 dimenangi tanpa bertanding.
Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung PMBS, Norhasan Haji Ismail dalam satu kenyataan yang dikekuarkan, di sini.
Norhasan berkata hasil dari proses Mesyuarat Agung Tiga Tahun Perwakilan di peringkat cawangan yang dilaksanakan dari 1 Mei hingga 31 Mei lepas semua 31 dari 32 cawangan yang boleh mengadakan persidangan telah membuat usul bahawa tiga jawatan utama iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden 1 tidak dipertandingkan.
” Ini bermakna Presiden sekarang Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif, Timbalan Presiden Datuk Haji Pengiran Saifuddin Haji Pengiran Tahir dan Naib Presiden 1, Haji Pengiran Japar Haji Pengiran Osman menang tanpa bertanding,” katanya.
Beliau berkata bagi sembilan Ahli Jawatankuasa Pusat (AJP) yang akan dipertandingkan beberapa nama telah dikemuka dan dicalonkan oleh cawangan-cawangan.
Menurut Norhasan senarai penuh calon yang layak bertanding akan diumumkan kepada seluruh ahli dalam masa terdekat.
Beliau berkata AJP dalam mesyuaratnya dua minggu lalu memutuskan Mesyuarat Agung Tiga Tahun Perwakilan PMBS bagi Sesi 2026-2028 akan diadakan pada 13 Jun 2026 di Dewan Saadah Wisma MUIS bermula jam 8.30 pagi.
” Sebelum AGM kita juga akan mengadakan Forum Etnik Budaya Masyarakat Brunei Sabah yang akan dihadiri oleh lebih 300 perwakilan dan pemerhati,” katanya.
Beliau berkata AGM akan dirasmikan sendiri oleh Mohd Arifin yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama Islam Sabah.-Oleh Hj Mohd Amin Hj Muin.

MOHD ARIFIN…Menang tanpa tanding Presiden PMBS Sesi 2026-2028.

PG SAIFUDDIN…ADUN Pantai Manis kekal Timbalan Presiden PMBS.

PG JAPAR…Menang tanpa bertanding Naib Presiden 1.








