KIULU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Joniston Bangkuai menggesa rakyat agar tidak terpengaruh dengan naratif pembangkang yang mendakwa kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal berusaha mendapatkan hak 40 peratus hasil negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Beliau berkata, kepimpinan negeri kekal komited untuk memastikan perkara itu dapat direalisasikan secepat mungkin.
Katanya, pendekatan Kerajaan Negeri yang mengutamakan rundingan, libat urus serta hubungan kerja harmoni dengan Kerajaan Persekutuan kini mula membuahkan hasil positif.
“Ini dapat dilihat menerusi peningkatan Geran Khas daripada RM53 juta ketika pentadbiran Kerajaan Warisan kepada RM600 juta di bawah Kerajaan GRS ketika ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Kaamatan dan sesi libat urus bersama wakil Mahkamah Anak Negeri serta ketua-ketua kampung di Kiulu.
Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS berkata, pentadbiran negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Hajiji Noor turut berjaya memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas yang disifatkan sebagai langkah strategik dan memberi pulangan berbilion ringgit kepada Sabah.
“Kerajaan GRS tetap teguh dan tidak akan berundur dalam usaha mendapatkan hak 40 peratus hasil negeri. Dalam masa sama, kepimpinan negeri juga akan terus mendesak peningkatan Geran Khas serta memperluaskan lagi kerjasama strategik dengan Putrajaya,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu itu turut menggesa ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya memainkan peranan di peringkat akar umbi dengan membantu menjelaskan dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat bagi menangkis naratif pembangkang.
Dalam perkembangan sama, beliau mengumumkan penubuhan sebuah panel bebas bagi menilai prestasi dan keberkesanan ketua kampung di kawasan Kiulu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Menurutnya, panel itu juga akan menerima serta meneliti aduan berkaitan prestasi dan tingkah laku ketua kampung.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk menggantikan mereka yang gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, panel berkenaan akan dianggotai individu berintegriti dan melapor terus kepada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memastikan pemimpin akar umbi kekal bertanggungjawab serta berkesan dalam berkhidmat kepada rakyat.

TIBA …. Ketibaan Joniston (tengah) disambut mesra para jemputan yang hadir pada majlis itu.






