Oleh FARDY BUNGGA
SEMPORNA: Seorang pelancong wanita warga China berusia 66 tahun meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Pom Pom, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa dilaporkan mengadu tidak selesa sebelum meminta dibawa naik ke bot.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah, berkata sebaik berada di atas bot, mangsa tidak sedarkan diri sebelum diberikan bantuan pernafasan (CPR).
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun pemeriksaan doktor di Wad Kecemasan mengesahkan wanita berkenaan telah meninggal dunia.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang berasal dari Yunnan, China, melakukan aktiviti snorkeling bersama keluarganya di pulau berkenaan.
“Mangsa yang mengadu tidak selesa dengan keadaan kesihatannya terus dibawa ke atas bot sebelum didapati tidak sedarkan diri.
“Mangsa diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tiada tindak balas sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Hiap Wah berkata, berdasarkan maklumat ahli keluarga, mangsa mempunyai sejarah penyakit asma sejak kira-kira 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengusaha pelancongan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan pelancong, khususnya ketika menjalankan aktiviti air.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjadi saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852,” katanya.

Mangsa diberikan bantuan CPR sebelum dihantar ke Hospital Semporna.



