Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menghargai penerimaan syornya untuk memberikan insentif cukai bagi menyokong pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) dalam Belanjawan 2027.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai khas kepada pihak yang menyumbang makanan dan peralatan bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
Beliau berkata, insentif itu dijangka menggalakkan penyertaan rakan strategik, termasuk sektor korporat dan pertubuhan sukarela, sekali gus memperkukuh ekosistem pelaksanaan food bank di negara ini.
Menurutnya, butiran mekanisme pelaksanaan akan diselaraskan bersama Kementerian Kewangan (MoF).
Armizan berkata, kerjasama pelbagai pihak menerusi i-FB mampu membantu meringankan beban kos sara hidup golongan memerlukan, mengurangkan pembaziran makanan dan melindungi alam sekitar.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis UMS Alumni Homecoming & Fundraising Dinner 2026 anjuran Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Hotel Hilton, di sini, pada Sabtu.
Dalam majlis itu, Armizan turut menyampaikan geran i-FB kepada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UMS bagi menyokong pelaksanaan inisiatif berkenaan di institusi pendidikan dan komuniti setempat.
Geran berkenaan akan digunakan untuk menyediakan peralatan dan ruang khusus bagi memudahkan penerimaan, penyimpanan serta pengagihan sumbangan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan.
Inisiatif i-FB berteraskan pendekatan 3S, iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan, dengan penglibatan agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.
Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran Tabung Endowmen Kinabalu dengan sasaran kutipan awal RM1.5 juta bagi menyokong kebajikan dan pembiayaan pengajian mahasiswa UMS berprestasi tinggi yang memerlukan bantuan kewangan, khususnya golongan B40.
Tabung itu akan diuruskan oleh Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf (CIEW) UMS.

Armizan ketika menghadiri Majlis UMS Alumni Homecoming & Fundraising Dinner 2026 di Hotel Hilton, pada Sabtu.







