STAR Sabah pandang serius PKR mahu tanding 13 kerusi

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) memandang serius kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, yang menyatakan hasrat untuk PKR bertanding sekurang-kurangnya 13 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Penerangan Pusat STAR Sabah, Anuar Ghani berkata, tindakan itu menunjukkan PKR Pusat masih melihat Sabah sebagai jajahan politik, bukan sebagai rakan setara dalam Persekutuan.
“Ini bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menuntut Sabah diberi hak menentukan hala tuju politiknya secara sendiri.
“Sabah bukan tapak uji jentera parti-parti dari Selangor, Pulau Pinang atau Johor.
“Kenyataan bahawa jentera dari luar akan dihantar ke Sabah menunjukkan niat campur tangan dalam urusan politik anak negeri,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, ia tindakan tidak sensitif dan merendahkan orang-orang Sabah yang kini semakin beralih untuk menyokong parti-parti tempatan.
Katanya, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, PKR hanya menang dua kerusi.
“Kini mereka menuntut 13 kerusi seolah-olah tidak memerlukan mandat rakyat tempatan terlebih dahulu.
“Nyatakan secara terbuka kerusi mana yang menjadi sasaran mereka? Adakah mereka mahu mengambil semula kerusi yang kini disandang oleh parti tempatan,” katanya.

ANUAR GHANI