Victor tekad jadikan Tambunan daerah lestari, maju dan sejahtera

Oleh JOHN TAMBANAN


TAMBUNAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Dato’ Victor P. Paut, bertekad menjadikan Tambunan sebagai sebuah daerah lestari, maju dan sejahtera dengan pembangunan seimbang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan kebudayaan berteraskan nilai komuniti, warisan serta inovasi.
“Ini antara visi saya sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat N.39 Tambunan selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) pada 29 November ini,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di sini, pada Sabtu.
Victor berkata, misinya adalah memperkukuhkan ekonomi masyarakat melalui perusahaan tani moden, keusahawanan sosial dan pembangunan komuniti pelancongan.
Beliau turut menekankan usaha memperkasakan masyarakat melalui pendidikan, peluang pekerjaan serta pembangunan belia dan wanita, di samping memelihara dan mempromosikan identiti kebudayaan Dusun Tambunan sebagai warisan kebanggaan negeri.
Selain itu, beliau berhasrat membangunkan serta menaik taraf infrastruktur dan teknologi secara inklusif bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Victor berkata, tumpuan khusus juga akan diberikan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Antaranya, saya ingin menyediakan bayaran daftar pesakit luar Hospital Tambunan secara percuma, memberi sumbangan kanopi untuk kegunaan setiap kampung, pemasangan lampu solar di kawasan gelap, mewujudkan sistem aduan digital supaya setiap aduan direkod dan diselesaikan segera,” katanya.
Beliau turut berjanji menyediakan sumbangan kerusi kepada kampung, rumah ibadat dan sekolah yang memerlukan, menawarkan pembiayaan yuran kursus pra-perkahwinan secara percuma kepada semua penduduk Tambunan — tanpa mengira agama — serta menubuhkan Program Tambunan Peduli sebagai pusat penyaluran bantuan kebajikan segera.
Victor merakamkan penghargaan kepada penyokong yang hadir memberi sokongan moral kepadanya.
“Ini adalah kali pertama saya bertanding dalam pilihan raya dan saya berharap mendapat sokongan padu daripada semua penyokong GRS,” katanya.
Beliau turut menyeru pengundi keluar beramai-ramai pada 29 November ini untuk menunaikan tanggungjawab dan bersama-sama membawa perubahan positif kepada daerah Tambunan.

TAMBUNAN …. Victor (tengah) mengemukakan kertas pencalonan di pusat penamaan
calon Tambunan.