Minat industri makin meningkat – Jamawi
Oleh JOHN TAMBANAN
KENINGAU: Seramai 142 peserta dari seluruh Sabah menyertai Kursus Transformasi Penanaman Durian anjuran Jabatan Pertanian Sabah di Dewan Masyarakat Keningau, sekali gus mencerminkan lonjakan minat terhadap industri durian yang semakin mendapat tempat dalam landskap agromakanan negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada gerak kerja strategik kementerian dalam memperluas pemindahan ilmu kepada petani dan usahawan tani di kesemua 26 daerah di Sabah.
Menurut beliau, pelaksanaan kursus akan diperhebat sepanjang tahun, meliputi tanaman durian, avokado serta bidang berkaitan industri makanan bagi memperkasa kapasiti dan daya saing peserta.
“Hari ini kita fokus kepada tanaman durian di Keningau, namun di daerah lain kursus avokado dan pelbagai kursus industri makanan turut akan dilaksanakan.
“Ini adalah inisiatif Jabatan Pertanian untuk memastikan ilmu dapat disalurkan secara menyeluruh kepada usahawan, petani dan penggiat industri,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Beliau turut memaklumkan peserta yang hadir datang dari pelbagai daerah termasuk Pitas, Kota Kinabalu dan Papar, sekali gus menggambarkan capaian program yang inklusif dan menyeluruh.
Dalam pada itu, Jamawi berkata kementeriannya akan terus memperkukuh sokongan kepada penggiat industri, khususnya dari aspek pemasaran melalui jaringan kerjasama dengan persatuan berkaitan.
“Kita telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan produk yang dihasilkan bukan sahaja berkualiti, tetapi mampu dipasarkan secara lebih meluas dan memberikan pulangan mampan kepada pengusaha,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Keningau dikenal pasti sebagai lokasi strategik bagi pembangunan pusat pemprosesan hasil pertanian yang akan diterajui pemain industri dengan bimbingan Jabatan Pertanian.
Inisiatif tersebut diyakini mampu meningkatkan nilai tambah produk tempatan, di samping membuka ruang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
Sementara itu, program Kebun Dapur akan diperluaskan melalui pendekatan mentor-mentee dengan penglibatan 23 mentor dalam pelbagai bidang termasuk tanaman durian dan penternakan ayam.
“Pendekatan ini membolehkan peserta dibimbing secara berterusan oleh mereka yang berpengalaman, sekali gus meningkatkan kebarangkalian kejayaan usahawan baharu,” katanya.
Tambah beliau, model bimbingan berstruktur itu juga dijangka mengurangkan kebergantungan kepada subsidi, selain memastikan hanya peserta berpotensi tinggi menerima sokongan.
“Kali ini kita sasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus peserta mencapai kejayaan melalui sistem pemantauan dan bimbingan yang lebih tersusun,” katanya.
Dalam aspek pembiayaan, Jamawi berkata Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Perbadanan Pinjaman Sabah bagi menyediakan kemudahan pinjaman sehingga RM30,000 tanpa faedah, selain skim pembiayaan kadar rendah sekitar satu peratus melalui Agrobank.
“Inisiatif ini bertujuan membuka ruang kepada peserta yang berpotensi untuk menceburi sektor pertanian secara komersial,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kementerian akan melancarkan Jelajah Kebun Dapur bersempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang dijadual berlangsung pada 1 Mei di Papar.
“Orang ramai dijemput hadir bagi melihat sendiri pelbagai inisiatif serta peluang yang ditawarkan dalam sektor pertanian,” katanya.
Jamawi menegaskan usaha berterusan dalam pendidikan dan bimbingan merupakan pemacu utama bagi memastikan sektor pertanian Sabah terus berkembang secara mampan dan berdaya tahan.

Jamawi (duduk,tengah) bergambar kenangan dengan semua peserta yang hadir.

Jamawi ketika memberikan ceramah.





