Dua rumah, sebuah gerai dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran

KOTA KINABALU: Dua rumah, sebuah gerai makan dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Batu 3, Jalan Kionsom, awal pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.53 pagi itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.53 pagi.
Menurutnya, jentera tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
“Kebakaran membabitkan dua buah rumah kediaman, sebuah gerai serta dua kenderaan.
“Rumah pertama jenis dua tingkat separuh kekal berukuran 30×40 kaki terbakar 100 peratus.
“Rumah kedua jenis tidak kekal berukuran 20×30 kaki turut terbakar 100 peratus,” katanya.
Beliau berkata, sebuah gerai makan jenis tidak kekal berukuran 20×10 kaki turut musnah sepenuhnya.
“Dua kenderaan sedan turut terbakar, masing-masing tahap kemusnahan 100 peratus dan kira-kira 40 peratus.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan dua pancutan.
“Sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya.
Katanya, operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 2.52 pagi.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain wujud sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.06 pagi.
“Seramai 14 anggota terbabit dalam operasi ini dan turut dibantu dua anggota polis dan tiga anggota Sabah Electricity,” katanya sambil menambah punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

MARAK …. Kebakaran memusnahkan dua rumah, sebuah gerai makan dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Batu 3, Jalan Kionsom.