202 rumah setinggan Kg Lok Buta terbakar, tiga kanak-kanak maut

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan sebanyak 202 rumah musnah dalam kebakaran di kawasan setinggan Kampung Lok Buta, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, tiga kanak-kanak berusia lingkungan 4 hingga 8 tahun turut maut selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian berkenaan.
Pengarah JBPM Negeri Sabah, Mohd Pizar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.40 pagi.
Katanya, sepasukan 55 anggota dan pegawai bersama jentera melibatkan empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daripada Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Anggaran awal kebakaran melibatkan kira-kira 202 rumah jenis tidak kekal dengan keluasan kawasan terjejas dianggarkan seluas 9,178 meter persegi
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran termasuk terpaksa meruntuhkan empat rumah bagi mengawal api kebakaran,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Mohd Pizar berkata, operasi pemadaman dijalankan dengan teknik pemadaman ‘offensive’ menggunakan pancutan dari sumber air terbuka.
Katanya, tiga kanak-kanak yang dilaporkan hilang sebelum itu berjaya ditemui dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan operasi.
“Ketiga-tiga mangsa dikenal pasti sebagai dua beradik iaitu Mohd Asrul Abdullah, 6, Nana Abdullah, 4, dan sepupu Norfadilah Mohd Thajia, 8 tahun yang ditemui tidak jauh dari dua mangsa pertama.
“Setakat ini, jumlah sebenar rumah yang terlibat masih belum dapat disahkan dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

MARAK ….. Kebakaran dianggarkan melibatkan sekurang-kurangnya 202 rumah jenis tidak kekal.