Dr. Bonaventure Boniface Ketua PBS Tamparuli yang baharu

TAMPARULI: Dr. Bonaventure Boniface dipilih Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tamparuli yang baharu bagi sesi 2026–2029 selepas memenangi pertandingan dua penjuru pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-41 bahagian itu, di Dewan Tun Hamdan, sini, pada Ahad.
Pemilihan yang berlangsung dalam suasana demokrasi, harmoni dan penuh semangat kekeluargaan itu, menyaksikan Dr. Bonaventure memperoleh mandat para perwakilan dengan menewaskan mantan Timbalan Ketua Bahagian, Madin Anak.
Dalam ucapan sulungnya sejurus diumumkan sebagai pemenang, Dr. Bonaventure merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh perwakilan atas kepercayaan yang diberikan, sambil menegaskan bahawa kemenangan tersebut adalah kemenangan seluruh keluarga besar PBS bahagian Tamparuli.
Beliau turut memberikan penghormatan kepada mantan Ketua Bahagian, Datuk Seri Jahid Jahim, yang telah menerajui bahagian itu selama enam penggal.
Menurutnya, jasa dan pengorbanan Jahid dalam membangunkan serta memperkukuhkan organisasi parti di Tamparuli merupakan satu legasi yang amat besar dan perlu terus dihargai oleh seluruh ahli.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Jahid Jahim atas kepimpinan, jasa dan pengorbanan beliau selama enam penggal menerajui Bahagian Tamparuli. Beliaulah yang telah meletakkan asas yang kukuh untuk kita terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Sehubungan itu, Dr. Bonaventure mencadangkan agar Jahid dilantik sebagai penasihat PBS bahagian Tamparuli supaya pengalaman, kebijaksanaan serta pandangan beliau terus dimanfaatkan dalam membimbing kepimpinan baharu demi kesinambungan perjuangan parti.
Beliau turut menyeru seluruh ahli supaya menutup lembaran pertandingan dan kembali bersatu sebagai satu pasukan.
“Mulai hari ini, tiada lagi pasukan saya atau pasukan lawan. Yang ada hanyalah satu pasukan PBS Tamparuli. Tanggungjawab kita sekarang ialah memperkukuhkan parti, mendekati rakyat dan memastikan PBS terus menjadi wadah perjuangan yang relevan demi masa depan Tamparuli dan Sabah,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, Dr. Bonaventure turut mengemukakan usul supaya tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi parti pada Kongres PBS akan datang.
Beliau mencadangkan agar Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, diangkat sebagai Presiden PBS bagi sesi 2026–2029 demi memastikan kesinambungan kepimpinan yang stabil, memperkukuhkan perpaduan parti serta memperkasakan kedudukan PBS dalam Kerajaan Negeri dan landskap politik Sabah.
Sementara itu, bagi pemilihan sayap parti, penyandang Ketua Pergerakan Pemuda PBS bahagian Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin, berjaya mempertahankan jawatannya selepas menewaskan George Bagang.
Bagi Pergerakan Wanita pula, Maclyn Gabu dipilih sebagai Ketua Wanita tanpa bertanding selepas memangku jawatan tersebut sebelum ini.
Seramai 650 orang perwakilan dari seluruh Bahagian N.14 Tamparuli hadir menunaikan tanggungjawab memilih barisan kepimpinan baharu melibatkan jawatan Ketua Bahagian, Ketua Pergerakan Wanita dan Ketua Pergerakan Pemuda.
Terdahulu, sebanyak 85 daripada 89 cawangan PBS Bahagian N.14 Tamparuli berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Cawangan, sekali gus memenuhi syarat perlembagaan parti untuk membolehkan AGM Bahagian diadakan.
Mesyuarat Agung itu berakhir dalam suasana penuh muafakat apabila para perwakilan menyatakan komitmen untuk terus memperkukuhkan parti berteraskan perpaduan, kestabilan dan integriti, di samping memperkasakan PBS sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang terus memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat Sabah.-John Tambanan.

BERSATU!….Dr Bonaventure mengetuai laungan keramat PBS selepas berjaya memenangi jawatan Ketua Bahagian PBS Tamparuli, di Dewan Tun Hamdan, pada Ahad.